suria

Tengku Mahaleel Mampu Terajui BAM - Nadzmi

Mohd Nadzmi Mohd Salleh
Mohd Nadzmi Mohd Salleh
Mohd Nadzmi Mohd Salleh

SEPANG: Bekas ketua pegawai eksekutif Proton Holding Berhad Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mampu menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berdasarkan pengalaman luas beliau dalam sukan badminton tanah air, kata Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Beliau berkata sebagai tokoh korporat berpengalaman dan berkebolehan, Tengku Mahaleel mampu memartabatkan sukan badminton negara ke tahap lebih tinggi jika dipilih memegang jawatan tertinggi badan induk itu.

"Saya rasa beliau (Tengku Mahaleel) sudah bersedia. Beliau ada menelefon saya memberitahu beliau sudah bersedia bertanding sebagai presiden BAM jika dicalonkan.

"Saya yakin dengan pengalaman yang ada, beliau mampu menerajui BAM. Beliau juga bekas pemain badminton dan pernah menjadi setiausaha Persatuan Badminton Selangor," katanya kepada pemberita selepas mengucapkan selamat jalan kepada skuad badminton negara yang berlepas ke Hong Kong, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengetuai 29 pemain Malaysia ke Hong Kong untuk menjalani latihan fasa akhir selama 10 hari sebelum beraksi pada Kejohanan Dunia 2013 di Guangzhou, China dari 5 hingga 11 Ogos.

Mohd Nadzmi yang merupakan penyandang jawatan itu tidak akan mempertahan kedudukan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan badan induk berkenaan, Sabtu ini.

Mengenai penyertaan skuad negara pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, Mohd Nadzmi berharap Chong Wei dan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memperoleh kejuaraan pada kejohanan berprestij itu sebagai hadiah perpisahan yang bermakna untuk beliau yang menerajui BAM selama 13 tahun.

"Di mana-mana kejohanan kita perlu sasar menjadi juara, tetapi kita tidak pernah menjadi juara seperti di Kejohanan Dunia. Kali ini saya harap pemain dapat memberi kejutan dengan menghadiahkan kejuaraan.

"Saya tahu Chong Wei bersedia untuk menjuarai kejohanan ini, saya harap dia akan menang, begitu juga Kien Keat dan Boon Heong. Sepanjang saya menjadi presiden BAM, belum pernah pemain kita meraih kejuaraan dalam dua kejohanan besar iaitu Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia," katanya.

Sementara itu, Chong Wei mengucapkan terima kasih atas usaha serta sokongan yang diberikan Mohd Nadzmi sepanjang menjadi presiden BAM.

"Menjaga BAM selama 13 tahun bukan perkara mudah. Terima kasih Datuk Seri Nadzmi kerana membantu pemain badminton negara," kata Chong Wei.- BERNAMA

Artikel Lain