suria

KL Tuan Rumah Kejohanan Gimrama Remaja Asia 2014

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur dipilih buat julung kali sebagai tuan rumah Kejohanan Gimrama Remaja Asia 2014 yang akan berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), A. Razak Mat Amin berkata, antara 15 dan 20 negara dijangka menyertai kejohanan edisi ke-13 itu.

"Kita akan bentuk sebuah pasukan kuat untuk kejohanan itu kerana kita mempunyai ramai atlet gimrama yang bagus dan berbakat besar. Saya harap mereka menjalani latihan bersungguh-sungguh dan menyumbang pingat kepada negara," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata, kejohanan itu juga menjadi medan pendedahan dan persediaan selain mencungkil bakat baru untuk menghadapi Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland dan Sukan Olimpik 2016, di Rio de Janeiro, Brazil.

Ditanya mengenai hasrat MGF menyenaraikan gimnas artistik muda dari Sarawak, Esmelda Arecia Menti Alfred Geling, 13, ke dalam skuad kebangsaan, A. Razak berkata, perkara itu perlu dibincang terlebih dahulu dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

"(Bagaimanapun) perjumpaan antara MGF dan MSN belum ditetapkan tarikh. Esmelda masih muda...jika keluarganya mahu melepaskan dia untuk belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil, itu sesuatu yang cukup baik kerana kita boleh asuh dan gilap lagi bakat dia," katanya.

Esmelda Arecia, yang dinobat Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 baru-baru ini, menyumbang dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa kepada kontinjen Sarawak pada temasya itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain