suria

Medan Tingkat Kemahiran Pemain - Rajagobal

Rajagobal (kiri)bersama Mourinho ketika sidang media sempena perlawanan persahabatan Malaysia bertemu Chelsea Ahad ini. Foto: FAIHAN GHANI/The Star
Rajagobal (kiri)bersama Mourinho ketika sidang media sempena perlawanan persahabatan Malaysia bertemu Chelsea Ahad ini. Foto: FAIHAN GHANI/The Star
Rajagobal (kiri)bersama Mourinho ketika sidang media sempena perlawanan persahabatan Malaysia bertemu Chelsea Ahad ini. Foto: FAIHAN GHANI/The Star

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menggesa anak didiknya menggunakan perlawanan menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC di Stadium Shah Alam, Ahad ini sebagai medan terbaik untuk mereka meningkatkan kemahiran permainan masing-masing.

"Setiap kali kita bermain dengan mana-mana pasukan, kita telah menetapkan objektif untuk tidak hanya menghiburkan penonton yang hadir ke stadium sebaliknya memberi persembahan terbaik.

"Kalau boleh, saya mahu mereka (pemain skuad Harimau Malaya) belajar apa-apa yang memberi manfaat daripada pemain Chelsea untuk membantu persembahan pasukan kita pada masa akan datang," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena ketibaan pasukan Chelsea di sini, Khamis malam.

Jurulatih berusia 57 tahun itu berkata perlawanan berkenaan turut menjadi pentas terbaik untuk beliau menguji barisan pemain sedia ada bagi menghadapi Bahrain pada perlawanan ketiga Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015, di Kuala Lumpur 15 Okt ini.

Pada masa sama, Rajagobal turut menghormati kemampuan Pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang dianggap sebagai antara pengurus bola sepak paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia.

"Apabila beliau berhijrah ke mana-mana pasukan, beliau berjaya membimbing pasukan itu untuk muncul juara dan beliau sentiasa mempunyai barisan pemain terbaik apabila beliau melatih sesebuah pasukan baharu," katanya.

Sementara itu Mourinho berkata beliau teruja untuk kembali ke Malaysia selepas kunjungan sulungnya tahun lalu, atas sebab yang berbeza.

"Saya merasai keterujaan peminat bola sepak Malaysia. Perlawanan ini sebagai sebahagian persediaan kami menghadapi musim baharu EPL (Liga Perdana Inggeris)yang bermula 17 Ogos.

"Saya berjanji pemain saya akan memberi persembahan terbaik dan saya harap rakan sejawatan saya (Rajagobal) akan turut merasai apa yang saya rasa," katanya.

Jurulatih berusia 50 tahun berketurunan Portugis ini turut mendedahkan keputusannya untuk kembali mengendali Chelsea selepas meninggalkan pasukan itu kira-kira enam tahun lalu, kerana cintakan peminat pasukan The Blues yang sentiasa menyokong beliau.

"Chelsea FC merupakan satu-satunya kelab Liga Perdana Inggeris yang saya paling suka. Banyak yang kelab ini dapat tawarkan yang saya tidak boleh menolaknya," katanya.

Chelsea memulakan jelajah pramusim 2013/14 di Asia dengan mengalahkan Thailand's Singha All-Star XI, 1-0 di Stadium Rajamangala di Bangkok pada Rabu.

Mereka akan berada di Malaysia sehingga 23 Julai sebelum berkunjung ke Indonesia untuk mengakhiri lawatan mereka dengan menentang Indonesian XI bagi Piala BNI di Stadium Bung Karno di Jakarta.-BERNAMA

Artikel Sebelum

United Tewaskan All Star 5-1

Artikel Lain