suria

Subahan Mahu Rajagobal Diberi Lebih Peluang

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal tidak menyalahkan Datuk K. Rajagobal untuk terus bereksperimen meskipun skuad kendalian ketua jurulatih itu seri tanpa jaringan pada aksi persahabatan menentang Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa.

Subahan turut berkongsi pendapat dengan pengendali berusia 56 tahun itu bahawa keputusan menang atau kalah pada perlawanan menentang kelab Liga Perdana Thailand itu, tidak penting kerana ia hanya aksi persahabatan.

"Keputusan menang atau kalah tidak penting kerana apa yang lebih penting pemain diberi peluang sama rata untuk bermain," katanya kepada kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatakuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-lapan, di sini, Rabu.

Beliau berkata semua pihak sepatutnya memberi peluang kepada Rajagobal memperbaiki kelemahan sebelum berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

"Perlawanan pada Ahad ini lebih penting kerana bukan mudah bagi skuad Harimau Malaya mendapat peluang beraksi bersama kelab terkemuka seperti Chelsea FC.

"Kita bukan mengharapkan kemenangan (berdepan Chelsea) tetapi biarlah pasukan kebangsaan dapat mempamerkan aksi menarik dan tidak menghampakan peminat bola sepak negara," katanya.

Subahan berkata beliau yakin dengan kemampuan skuad kendalian Rajagobal dan berharap mereka mampu melakukan perubahan pada corak permainan pada aksi menentang kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Beliau berkata perlawanan menentang Chelsea FC dapat memberi pendedahan terbaik kepada pemain sebelum berdepan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos dan Bahrain pada perlawanan ketiga kumpulan D, saingan Kelayakan Piala Asia 2015, pada 15 Oktober.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin turut menolak keras kritikan bahawa skuad Harimau Malaya gagal menyajikan aksi mantap ketika bertemu kelab dari Thailand itu.

"Saya dapat lihat pemain beraksi dengan baik semalam apabila semua mereka bermain bersungguh-sungguh dan melakukan cubaan mendapatkan gol sehingga tamat permainan," katanya.

Hamidin turut memuji keputusan Rajagobal yang kerap melakukan pertukaran pemain pada separuh masa kedua bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain beraksi pada aksi persahabatan, seperti dilakukan semalam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain