suria

Nasib Farkhan Terletak Di Tangan MSN

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menyerahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuat keputusan berhubung kedudukan petinju negara, Mohd Farkhan Haron dalam skuad kebangsaan.

"Setakat ini, saya tidak boleh beritahu apa bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap Farkhan sehingga mesyuarat jawatankuasa kerja bersama PTAM dan MSN pada 31 Julai ini," kata Setiausaha Kehormat PTAM Mohamed Jani Ismail.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan semalam, Mohd Farkhan akan mengadakan sidang media minggu depan untuk mendedahkan apa yang disifatkannya perkara sebenar yang berlaku dalam PTAM dan bagi membersihkan nama baiknya daripada tuduhan yang dilemparkan individu tertentu dalam persatuan.

Sebelum ini, Mohd Farkhan mendakwa beliau menarik diri daripada skuad kebangsaan sejak bulan lepas kerana mendapati kurangnya kemajuan dan perancangan PTAM menghadapi temasya Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Petinju kelahiran Johor itu juga mempersoal kewajaran persatuan yang sebelum itu mahu menghantarnya ke sebuah pertandingan antarabangsa berstatus lima bintang iaitu Kejohanan Asia di Jordan baru-baru ini, biarpun dalam keadaan dirinya yang hanya berlatih empat minggu.

Mengulas lanjut, Mohamed Jani berkata tindakan pemenang pingat emas kategori 75 kg pada Sukan SEA 2009 itu, memberi kenyataan kepada media tanpa merujuk terlebih dahulu kepada PTAM mahupun MSN adalah tidak profesional.

"Beliau (Farkhan) sepatutnya menggunakan saluran yang betul jika tidak berpuas hati dengan pihak persatuan," katanya.

Mohamed Jani berkata sehingga Khamis, Mohd Farkhan belum menghubungi PTAM bagi membincangkan perkara itu dengan persatuan, sebaliknya lebih gemar memberi kenyataan kepada media. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain