suria

Revington Kekal Ketua Jurulatih Skuad Hoki Kebangsaan - Zolkples

PUTRAJAYA: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Paul Revington bersetuju meneruskan khidmat sehingga kontraknya tamat, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong.

"Keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan tertutup tadi. Beliau (Revington) telah menyatakan kesanggupan untuk meneruskan khidmat sebagai ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan.

"Semasa perjumpaan itu kita telah meminta beliau untuk melupakan segala perkara yang telah berlaku dan kini fokus kepada persediaan untuk menghadapi saingan Piala Asia tidak lama lagi," kata Zolkples ketika ditemui di Kementerian Belia dan Sukan di sini, Selasa.

Perjumpaan tertutup antara Revington dengan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Zolkples, Timbalan Presiden MHC Datuk Nur Azmi dan pengurus pasukan George Koshy itu berlangsung di Shahzan House, Jalan Ampang Selasa.

"Daripada perjumpaan itu, tidak ada lagi isu-isu yang berbangkit," katanya.

Mengenai kontrak Revington, Zolkples berkata khidmat jurulatih berasal dari Afrika Selatan itu akan dilanjut sehingga Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada 2016 jika perlu.

"Kontrak yang sedia ada adalah untuk dua tahun dan Revington bersedia untuk terus membimbing skuad kebangsaan sekiranya Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio," kata Zolkples.

Kontrak sedia ada Revington tamat pada Ogos tahun depan. Beliau sebelum ini menghantar surat meletak jawatan sebelum bermulanya Kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Baharu dari 29 Jun hingga 7 Julai lepas.

Mengenai peluang skuad kebangsaan pada Kejohanan Hoki Lelaki Piala Asia 2013 di Ipoh, Perak dari 24 Ogos hingga 1 Sept depan, Zolkples berkata para pemain perlu fokus dan memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.

"Berdasarkan kepada kejayaan skuad hoki kita meraih tempat kelima dalam Kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Baharu, saya yakin skuad hoki negara mampu memberi persembahan terbaik dan meraih kemenangan di Piala Asia.

"Saya tidak kisah dengan siapa pasukan kita diundi tetapi mereka harus mencipta keputusan yang baik dalam peringkat kumpulan seterusnya separuh akhir dan akhir.

"Kalau kita sudah mempunyai sebuah pasukan yang mantap, kita sepatutnya tidak perlu risau siapa lawan kita. Mereka harus tunjukan prestasi terbaik," katanya.

Menurut Zolkples, apa yang menggembirakan semua pihak pada masa sekarang ialah semua pemain bebas kecederaan serius dan berada pada tahap terbaik.

"Ini akan memberikan Revington banyak pilihan untuk memilih pemain-pemain yang bakal menggalas cabaran negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain