suria

Kejayaan Tech Zhi Bukti Malaysia Mampu Lahir Bakat BAru - Zolkples

KUALA LUMPUR: Kejayaan yang diukir pemain badminton remaja negara, Soo Teck Zhi dengan muncul juara pada kejohanan Badminton Remaja Asia Bawah-19 di Kota Kinabalu semalam membuktikan bahawa Malaysia masih mampu melahirkan bakat baharu dalam sukan itu, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

"Kejayaan beliau membuktikan Malaysia masih berjaya melahir satu lagi bintang badminton negara. Beliau (Teck Zhi) mempunyai masa depan yang begitu cerah, cuma banyak yang perlu dipertingkatkan khususnya dalam usia beliau yang masih muda itu.

"Beliau mempunyai banyak kelebihan khususnya dari segi fizikal yang baik, kepantasan dan stamina. Inilah ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang pemain badminton perseorangan yang baik pada masa hadapan," kata Zolkples ketika diminta mengulas mengenai kejayaan pemain berusia 18 tahun itu.

Zolkples ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) dan pengeluar barangan sukan Li-Ning selaku pembekal pakaian sukan rasmi skuad bola keranjang kebangsaan, pada Isnin.

Penajaan dalam bentuk barangan sukan selama setahun itu bernilai RM270,000.

"Kini sudah tiba masanya untuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia) memikirkan program yang bersesuaian untuk Teck Zhi bagi mengekalkan prestasi baiknya itu.

"Bagi saya pendedahan kepada banyak kejohanan (dalam dan luar negara) adalah antara usaha yang baik khususnya dalam mempersiapkan beliau untuk menghadapi saingan yang besar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang," katanya.

Menurut Zolkples, kejayaan itu akan membuka mata BAM untuk menghasilkan lebih ramai pemain-pemain yang berbakat dengan menyediakan program-program secara berterusan.-BERNAMA

Artikel Lain