suria

Skuad Hoki Terlepas Pingat Gangsa, Tewas Tipis 4-3 Kepada Jerman

KAZAN, (Russia): Impian skuad hoki negara untuk menyumbang pingat pada temasya Sukan Universiti Dunia ke-27 (Universiade 2013) tidak kesampaian apabila kalah 4-3 kepada Jerman pada perlawanan merebut pingat gangsa di sini, Isnin.

Jonas Furste muncul wira pasukan Jerman apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan selepas kedua-dua pasukan berentap sengit dengan saling membalas jaringan sejak awal permainan.

Jerman memulakan permainan dengan rentak agresif apabila membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Matthias Knuepfer.

Malaysia, yang tersentak dengan jaringan awal itu, memperkemaskan semula corak permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Babak kedua menyaksikan pasukan negara memberi tekanan kepada lawan apabila meraih gol kedua menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan Mohammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-48.

Selang dua minit kemudian skuad negara gagal menyempurnakan dua peluang percubaan pukulan sudut penalti yang diambil oleh Mohammad Razie.

Kemudian, Jerman menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan padang oleh Anton Ebeling pada minit ke-55 dan selang dua minit Timm Haase menambah jaringan ketiga buat Jerman.

Skuad hoki universiti negara kembali menyamakan kedudukan 3-3 menerusi pukulan sudut penalti oleh Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-64.

Bagaimanapun, Furste menambah duka skuad negara apabila mengesahkan pingat gangsa buat Jerman pada minit terakhir perlawanan.

Dalam pada itu, Russia dan Perancis akan bersaing untuk pingat emas dan perak pada perlawanan pukul 10 malam waktu Malaysia malam ini. -BERNAMA

Artikel Lain