suria

PTAM Kunci Mulut Isu Farkhan

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) mengambil sikap 'kunci mulut' berhubung pendirian Majlis Sukan Negara (MSN) yang mahukan bekas peninju elit negara, Mohd Farkhan Haron disenarai dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Setiausaha Kehormat PTAM Mohamad Jani Ismail ketika dihubungi hari ini, enggan mengulas mengenai perkara tersebut sehingga selepas badan induk itu mengadakan pertemuan dengan MSN dalam tempoh terdekat.

"Selepas kita berjumpa dengan MSN, baru saya akan beri kenyataan. Pada masa sekarang, saya tidak mahu komen...saya tidak pasti bila (mesyuarat dengan MSN), mungkin dalam minggu ini," katanya.

Mohamad Jani diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong dalam akhbar hari ini, bahawa khidmat Mohd Farkhan masih diperlukan bagi menghadapi temasya dwitahunan di Myanmar itu.

Menurut Zolkples yang terkejut dengan berita pengguguran pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu beberapa hari lepas, punca berlakunya perkara berkenaan adalah kerana salah faham.

Sebelum ini, peninju berusia 25 tahun itu digugurkan PTAM kerana didakwa tidak mampu memberi komitmen sepenuhnya kepada program latihan, dan badan induk sukan itu bertindak menamakan peninju Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rudy Petrus dari Sabah, yang turut bertanding dalam kategori 75kg sebagai pengganti.

Namun, sehari selepas pengguguran itu disiarkan media, Farkhan tampil menafikannya dan menjelaskan sudah menarik diri daripada skuad kebangsaan selepas kecewa dengan ketiadaan perancangan yang sistematik PTAM sehingga mendorongnya bertindak demikian. -BERNAMA

Artikel Lain