suria

Pemain Perlu Ambil Pengajaran Kekalahan Kepada Ireland - Kim Swee

KAZAN (Russia): Kekalahan kepada Ireland adalah pengajaran berguna buat skuad Harimau Muda A agar lebih bersedia apabila berhadapan dengan penentuan sepakan penalti.

Pengendali skuad Harimau Muda Ong Kim Swee berkata anak buahnya perlu sedar bahawa persediaan dalam menghadapi saat getir terutama ketika penentuan sepakan penalti adalah amat mustahak bagi menentukan nasib pasukan dalam sesuatu perlawanan.

"Setiap sepakan penalti amat mustahak dan ini mungkin akan berlaku di peringkat sukan SEA, jadi ini pengajaran yang perlu diambil iktibar oleh semua pemain.

"Persiapan bukan sahaja dari segi permainan tetapi sepakan penalti juga penentu kemenangan atau kekalahan kepada pasukan," katanya kepada pemberita.

Ong turut memuji penjaga gol kedua Harimau Muda Mohd Farhan Abu Bakar selepas berjaya menggagalkan satu sepakan penalti pemain Ireland dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga lapan pada Ahad.

"Farhan memang pakar dalam menyelamatkan pasukan dalam sepakan penalti, saya mengambil keputusan untuk meletakkan Farhan kerana beliau pernah menyelamatkan dua sepakan penalti ketika bertemu Itali," katanya.

Pada perlawanan penentuan kedudukan kelima hingga kelapan semalam, skuad bola sepak universiti negara tewas kepada Ireland 4-5 menerusi sepakan penalti selepas tamat perlawanan sebenar yang berlangsung pada Ahad.

Penjaga gol Ireland Niall Corbert menggagalkan sepakan penalti kapten pasukan negara Mohd Irfan Fazail dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir manakala penjaga gawang Malaysia, Farhan, turut menyelamatkan sepakan penalti pemain lawan, Jonathan Addis.

Dengan kekalahan itu Malaysia akan berjumpa Kanada dalam penentuan kedudukan ketujuh dan lapan manakala Ireland akan menentang Ukraine bagi tempat kelima dan keenam pada Selasa ini di Stadium Trudovye Rezervy. - BERNAMA

Ireland, Harimau Muda, Ong Kim Swee

Artikel Lain