suria

Ireland Tewaskan Malaysia Menerusi Penentuan Penalti

KAZAN (Rusia): Ireland menyingkirkan Harimau Muda A menerusi sepakan penalti selepas tamat perlawanan sebenar penentuan kedudukan kelima hingga kelapan di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade ke-27) yang berlangsung di Stadium Trudovye Rezervy.

Kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan seri 1-1 sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Ireland menewaskan Harimau Muda A, 5-4.

Penjaga gol Ireland Niall Corbert menggagalkan sepakan penalti kapten pasukan negara Mohd Irfan Fazail dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir manakala penjaga gawang Malaysia Mohd Farhan Abu Bakar turut menyelamatkan sepakan penalti pemain lawan, Jonathan Addis.

Terdahulu, perlawanan antara kedua pasukan menyaksikan skuad bola sepak universiti negara menguasai permainan pada separuh masa pertama dengan Syarul Azwari Ibrahim hampir membolosi gawang lawan pada minit ke-17 namun percubaannya tersasar.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri 0-0.

Babak kedua menyaksikan pemain negara K.Reuben mengasari pemain lawan dan memberikan sepakan penalti yang sekali gus menghadiahkan gol pertama buat Ireland pada minit ke-63 menerusi Correy Davidson.

Malaysia mengikat Ireland 1-1 menerusi rembatan cantik oleh Saarvindran di luar kotak penalti pada minit ke-69.

Harimau Muda dijadual menentang Kanada atau Ukraine bagi penentuan kedudukan ketujuh dan kelapan pada Selasa ini. - BERNAMA

Ireland, Harimau Muda, Ong Kim Swee

Artikel Lain