suria

Skuad Hoki Negara Bertemu Jerman Bagi Penentuan Pingat Gangsa Isnin Ini

KAZAN (Rusia): Skuad hoki negara muncul naib juara kumpulan A selepas menewaskan Afrika Selatan 2-1 sekali gus mara ke perlawanan penentuan pingat gangsa di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade ke-27).

Rusia pula muncul juara selepas cemerlang dengan rekod tanpa kalah sepanjang perlawanan peringkat kumpulan.

Pada perlawanan di Field Hockey Centre, pasukan lawan Afrika Selatan membuka tirai jaringan dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti oleh Brandon Panther pada minit ke-27.

Lima minit kemudian, pasukan negara dihadiah pukulan sudut penalti sekali gus mengikat pasukan lawan 1-1 menerusi jaringan kapten pasukan Mohammad Razie Abdul Rahim.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Ahmad Kazamirul Nasrudin menjaringkan gol kemenangan buat pasukan negara pada minit ke-52.

Jurulatih pasukan Nor Azlan Bakar berkata beliau berpuas hati skuad negara mara ke pusingan penentuan pingat gangsa, namun mereka perlu memastikan tidak melakukan kesilapan dalam perlawanan menentang Jerman Isnin ini di venue sama.

"Kita bersyukur perlawanan hari ini kita menang, sepatutnya perlawanan hari ini mudah memandangkan peluang skuad negara pada babak pertama banyak untuk menjaringkan gol.

"Selepas separuh masa kedua, kita lihat perlawanan menjadi tegang tetapi kita dapat menjaringkan gol," katanya kepada pemberita. Pada perlawanan keempat peringkat kumpulan, Rusia menewaskan Poland 5-1.

Bagi penentuan pingat emas, pasukan tuan rumah akan menentang Perancis pada hari dan di venue sama.

Sementara itu, gelanggang Tennis Academy menyaksikan beregu campuran negara Syed Mohamad Agil Syed Naquib dan Jawairiah Noordin gagal mara ke separuh akhir kejohanan selepas disingkir pasangan Switzerland Patrick Olivier Eichenberger dan Lisa Sabino.

Pasangan negara tewas straight set 2-6 dan 3-6. - BERNAMA

Artikel Lain