suria

Keselamatan Atlet Tanggungjawab Jawatankuasa Sukma 2013 - UPM

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu menjelaskan bahawa keselamatan atlet di perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) di universiti berkenaan baru-baru ini, adalah di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Keselamatan Sukma.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata universiti berkenaan hanya membantu jawatankuasa itu yang turut bertanggungjawab mengawal penginapan, lalu-lintas dan kolej penginapan atlet Sukma.

"UPM telah menyerahkan tanggungjawab kepada jawatankuasa berkenaan terhadap keselamatan atlet. UPM hanya menyediakan tempat penginapan dan mengawal di luar kolej penginapan atlet," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang pegawai pengiring berusia 19 tahun membuat laporan polis mendakwa dia dirogol bergilir-gilir oleh beberapa atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan di UPM, Rabu lepas.

Tiga atlet yang dipercayai turut membawa minuman keras ke dalam perkampungan sukan berkenaan, ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.

Tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lepas, di perkampungan sukan Sukma di UPM, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Mohd Fauzi berkata mengikut peraturan, semua bahan larangan termasuk arak dicegah dibawa masuk ke dalam universiti berkenaan.

"Bahagian Keselamatan UPM hanya membenarkan kemasukan atlet dan pegawai yang mempunyai pas ke kolej penginapan tetapi tidak mempunyai bidang kuasa melakukan pemeriksaan barangan dalam kenderaan mereka," katanya.

Beliau berkata UPM juga akan sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan polis berhubung siasatan terhadap insiden di perkampungan sukan itu. - BERNAMA

Artikel Lain