suria

MSN Tubuh Jawatankuasa Siasat Kes Rogol Temasya Sukma 2013

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan jawatankuasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang pegawai pengiring yang mendakwa dirogol tiga atlet bola baling Wilayah Persekutuan di perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013, Rabu lepas.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, penubuhan jawatankuasa itu atas inisiatif MSN, bakal dianggotai pegawai Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan MSN.

"Setakat ini kita hanya membuat keputusan menubuhkan jawatankuasa ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya kerana kita perlukan bukti yang menyeluruh.

"Memandangkan kontinjen terlibat di bawah MSWP, kita minta mereka mengambil inisiatif membuat keputusan selanjutnya berkaitan isu ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan PBBM dan MSWP, di sini Isnin.

Zolkples berkata, jawatankuasa itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dan tarikh penubuhannya terpulang kepada MSWP untuk menentukannya.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai pengiring membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki bola baling Sukma di perkampungan sukan di UPM, Rabu lepas.

Sementara itu, Zolkples menjelaskan mangsa merupakan pegawai pengiring yang sah bagi pasukan bola baling Wilayah Persekutuan walaupun tidak mendaftar dengan MSN.

"Saya sudah buat kenyataan (sebelum ini) bahawa pegawai terlibat adalah pegawai tambahan kontinjen (WP) yang tidak didaftarkan pada peringkat awal, jadi namanya tiada dalam senarai petugas kontinjen negeri-negeri.

"Bagaimanapun, kontinjen negeri dibenarkan mengambil pegawai tambahan tanpa perlu mendaftar dengan MSN dan ia tidak menyalahi peraturan MSN. Maknanya, pegawai terbabit adalah pegawai yang sah dalam kontinjen berkenaan," katanya.

Susulan laporan yang dibuat mangsa, tiga pemain bola baling lelaki Sukma 2013 ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.

Tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lepas, di perkampungan sukan berkenaan, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain