Malaysia Rangkul Tempat Kelima Kejohanan Liga Hoki Dunia - Sukan | mStar

Malaysia Rangkul Tempat Kelima Kejohanan Liga Hoki Dunia

JOHOR BAHRU: Malaysia merangkul tempat kelima pada pusingan separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia setelah mengalahkan Jepun 4-3 menerusi pukulan penalti di Stadium Taman Daya di sini malam Ahad.

Perlawanan merebut kedudukan tempat kelima dan keenam itu terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-13 dunia, membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Razie Abd Rahim selepas bola terkena kaki kapten Jepun, Koji Kajukawa.

Bagaimanapun, Jepun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 melalui jaringan sudut penalti Shinji Kawauchi.

Pada babak kedua, anak buah Paul Revington terus menggasak ke arah pintu gol pasukan Jepun yang kelihatan lebih berhati-hati untuk terus mengikat keputusan seri bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Skuad negara gagal memanfaatkan peluang yang ada pada minit ke-56 selepas pukulan deras bola Mohd Fitri Saari dalam kawasan D gagal disambar oleh Chua Boon Huat ketika penjaga gol Katsuya Takase sudah tertewas.

Dua minit kemudian skuad negara hampa lagi apabila pukulan sudut penalti Muhammad Razie mudah di tampan pertahanan Jepun.

Ketika menghampiri minit-minit akhir perlawanan, skuad negara turut mensia-siakan dua pukulan sudut penalti berturut-turut.

Pada penentuan lima pukulan penalti, Malaysia menyempurnakan pukulan menerusi Faizal Saari, Mohd Sharun Nabil Abdullah, Muhammad Firhan Ashaari dan Mohd Fitri Saari manakala Faiz Helmi Jali gagal menepati sasaran.

Jepun pula menyempurnakan pukulan menerusi Yasuhiro Nakayama, Tomonori Oni, Koshi Yamabi sementara penjaga gol Malaysia S. Kumat menafikan pukulan Heita Yoshihara dan Kei Kawakami.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menyaksikan perlawanan itu, melahirkan rasa gembira dan menyatakan peluang Malaysia memburu tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda, masih terbuka.

"Kita sasar untuk layak ke Piala Dunia dan mengharapkan Revington kekal bersama skuad hoki negara. Bagaimanapun, terpulang kepada beliau sama ada untuk kekal atau sebaliknya kerana dia ada sebab-sebab tersendiri," katanya.

Tengku Abdullah mengakui skuad negara mempunyai beberapa kelemahan sepanjang saingan tersebut tetapi gembira kerana pemain berjaya bangkit semula.

"Apapun saya harap dapat tingkatkan lagi kualiti permainan...nampak adakala 'yo-yo' dan tak konsisten. Lepas ini kita akan menghadapi Piala Asia, Ogos ini.

"Ini pun kita kena menjuarai kejohanan itu dan jika juara sudah tentu menempahkan tiket ke Piala Dunia...perjuangan kita masih belum habis lagi, kita mahu jadi juara," katanya.

Juara Piala Asia akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain