suria

Exco Johor Selar Mutu Pengadilan Lemah Punca Johor DT Gagal

JOHOR BAHRU: Mutu pengadilan yang lemah menjadi punca utama Johor Darul Takzim (Johor DT) terlepas peluang ke Piala AFC 2014 apabila seri 1-1 dengan Selangor pada perlawanan penutup musim Liga Super pada Sabtu.

Exco Sukan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan mendakwa pasukan 'Harimau Selatan' itu menjadi mangsa kepada keputusan berat sebelah pengadil pada perlawanan tersebut di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu.

"Saya berada di stadium dan sendiri menyaksikan ketidakcekapan pengadil perlawanan itu," katanya pada sidang media di sini Ahad untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan itu.

Beliau juga mendakwa perkara sama turut berlaku semasa Johor DT menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura, pada 22 Jun lepas dengan perlawanan itu berkesudahan seri 1-1.

Selepas gagal menghadiahkan Piala FA 2013, pasukan 'Harimau Selatan' itu mempunyai peluang terbaik menebus kekecewaan itu dengan kemenangan ke atas Selangor dan tiket Piala Asia 2014.

Bagaimanapun, penyerang import Francis Forkey Doe meledak gol penyamaan pada minit ke-51 untuk memastikan Selangor beraksi dalam kempen Piala AFC.

Johor DT terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang import Leonel Nunez pada minit ke-22.

Berikutan itu, Zulkurnain menagih jawapan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung aduan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengenai standard pengadilan sebelum ini.

"Saya difahamkan sudah lebih lima aduan rasmi dibuat mengenai mutu pengadilan bola sepak dan bukan setakat laporan bertulis, PBNJ juga turut sertakan bukti dalam bentuk rakaman video, namun sehingga kini FAM langsung tidak memberikan jawapan.

"Saya harap FAM dapat ambil tindakan drastik kerana mutu pengadilan sangat lemah dan banyak keputusan yang dibuat boleh dipertikaikan," katanya.

Zulkurnain berkata, penonton membeli tiket ke stadium dan mereka berhak untuk menyaksikan perlawanan yang adil.

Menurutnya, jika masalah kelemahan mutu pengadilan tidak diperbetulkan segera maka beliau bimbang penonton dan pemain sendiri akan mula hilang kepercayaan terhadap FAM.

Justeru, beliau berharap Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd Amin dapat membuat perubahan dengan mengambil kira pandangan persatuan negeri, kerajaan negeri mahupun masyarakat.

Johor DT, di bawah bimbingan lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga di belakang juara liga Lions XII dan naib juara Selangor. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain