suria

Sarawak Kekal Rekod Tanpa Kalah Musim 2013

KUALA LUMPUR: Sarawak mencipta sejarah tersendiri dalam arena bola sepak tempatan apabila mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 22 perlawanan dalam saingan Liga Perdana 2013 musim ini.

Pada perlawanan terakhir hari ini, skuad bimbingan Roberts Alberts itu mengalahkan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pencapaian tersebut merupakan kemenangan ke-18 buat skuad Bumi Kenyalang itu dan seri dalam empat perlawanan.

Pasukan itu merangkul gelaran juara liga musim ini pada 24 Jun lepas dan diangkat ke Liga Super musim depan.

Bobby Gonzales muncul wira pasukan pada perlawanan penutup musim apabila menjaringkan gol kemenangan Sarawak pada minit ke-45 selepas Mohd Fazlidin Khalid menyamakan kedudukan Sabah pada minit ke-36.

Gol pembukaan dihasilkan oleh Muamer Salibasic pada minit ke-29.

Naib juara liga, Sime Darby FC, yang turut beraksi pada Liga Super musim depan, menamatkan kempen Liga Perdana dengan mengalahkan Pos Malaysia FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sini.

Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri muncul wira skuad bimbingan Ismail Zakaria itu dengan menjaringkan kedua-dua gol masing-masing pada minit ke-40 dan 80.

Di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, pasukan Johor FA mengaibkan Perlis 4-0.

Johor FA menjaringkan dua gol pada setiap babak menerusi Khairul Azhar Eidros pada minit keempat, Mohd Ezaidy Khadar (29'), Ezequiel Adrian Gallegos (72') dan Mohd Shaofiq Mohd Kusaini pada minit ke-83.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, penyerang import dari Croatia, Alen Guc menjaringkan gol tunggal pada minit ke-12 untuk membantu Kedah mengatasi Kuala Lumpur 1-0.

Dalam dua lagi perlawanan, Polis mengalahkan S.P.A. Putrajaya 1-0 di Stadium UiTM, Shah Alam manala UiTM FC menewaskan NS Betaria FC dengan jaringan sama di Stadium Hang Jebat, Melaka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain