suria

Kejohanan Badminton Remaja B-19 Asia Di Sabah Pada 7 - 14 Julai

KUALA LUMPUR: Seramai 247 pemain yang mewakili 19 negara akan menyertai kejohanan Badminton Remaja Bawah 19 Asia 100PLUS di Kota Kinabalu dari 7 hingga 14 Julai ini.

Presiden Konfederasi Badminton Asia, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata kejohanan tersebut merupakan antara program pembangunan untuk menghasilkan lebih ramai atlet Malaysia bertaraf antarabangsa.

"Melalui kejohanan ini, pelapis negara boleh mengembangkan bakat dan kemahiran mereka dengan bersaing dengan pemain terbaik seluruh Asia," katanya dalam sidang media mengenai kejohanan tersebut di Stadium Juara, Bukit Kiara, pada Jumaat.

Antara pemain junior negara yang akan menyertai kejohanan ialah Soong Joo Ven, Soo Teck Zhi, Darren Issac Devadass dan Ong Yew Sin.

"Jika mereka boleh menang pada kejohanan ini, bermakna sukan badminton negara boleh pergi jauh dan maju ke hadapan," kata Nadzmi.

Beliau berharap kejohanan tersebut akan menjadi landasan dalam melahirkan jaguh dunia di kalangan pemain tempatan seperti yang dilakukan Datuk Lee Chong Wei.

Beliau turut mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada mesyuarat agung tahunan BAM pada 27 Julai ini.- BERNAMA

Artikel Lain