suria

MGF Anjur Banyak Kejohanan Artistik - Presiden

KUALA LUMPUR: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) menolak dakwaan bahawa persatuan itu kurang menganjurkan kejohanan gimnastik artistik pada peringkat kebangsaan, kata Presidennya A. Razak Mat Amin.

Beliau berkata pihaknya masih menganjurkan kejohanan acara tersebut tetapi secara tertutup pada setiap akhir tahun dan akan menambah satu lagi kejohanan peringkat kelab pada September ini.

"Memang betul gimnastik berirama lebih mendapat pendedahan dan mendapat lebih banyak peluang untuk menyertai pertandingan namun kita tak pernah sisihkan mereka.

"Kita masih menganjurkan kejohanan secara tertutup pada setiap akhir tahun walaupun kali terakhir kita mengadakan kejohanan terbuka pada 2007 tetapi kita masih ada kejohanan Sportexcel dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), di sini Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan jurulatih Sarawak, Bogomil Momchilov yang mendakwa gimnas artistik di peringkat negeri kurang mendapatkan pendedahan kerana tidak banyak pertandingan dianjurkan oleh MGF.

Bagaimanapun, A. Razak berkata perwakilan baharu persatuan itu akan membincangkan perkara itu dengan segera supaya nasib gimnas artistik terbela.

Katanya pihaknya turut bercadang untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan bagi atlet gimnastik artistik.

"Masalah negeri untuk menghantar atlet mereka ke kejohanan peringkat antarabangsa juga tidak timbul kerana mereka boleh berbuat demikian dengan mendapat nasihat daripada MGF," katanya.

Beliau menjelaskan kekurangan penganjuran kejohanan untuk gimnas artistik bukan berpunca daripada masalah kewangan kerana mereka mendapat dana daripada pihak MSN bagi program pembangunan para gimnas negara.

Katanya ini terbukti apabila mereka berjaya menghantar gimnas kebangsaan ke beberapa kejohanan peringkat antarabangsa seperti ke Piala Cabaran di Doha, Qatar.

Katanya selain penganjuran kejohanan antara kelab gimnastik artistik pada September ini, turut berlangsung kejohanan 'Kinder Gimnastic Artistic Championship' pada Oktober ini bagi memberi pendedahan lebih awal kepada generasi muda. - BERNAMA

Artikel Lain