suria

Malaysia Kekal 159 Dalam Kedudukan Terbaru FIFA

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak menyertai perlawanan persahabatan sejak kebelakangan ini, kedudukan skuad bola sepak kebangsaan tidak berubah dalam ranking bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) hari ini, skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal kekal di kedudukan ke-159, sama seperti kedudukan bulan lepas.

Pada Januari, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158, Februari (159) Mac (164), April (163) dan Mei (161).

Kedudukan terbaru itu meletakkan pasukan kebangsaan setanding dengan beberapa pasukan lain seperti Palestin (151), Bangladesh (152), Maldives (154) dan Chad (160).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kekal berada di tangga kelima di belakang Thailand (138), Filipina (144), Vietnam (145) dan Singapura (156).

Di peringkat Asia, Malaysia kekal pada kedudukan ke-31 daripada 46 negara.

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,532 mata bersama Jerman yang kekal di tangga kedua dengan 1,273 mata.

Colombia yang berada di tangga ketujuh sebelum ini, mencipta kejutan dengan merampas tangga ketiga daripada Argentina dengan 1,206 mata berikutan persembahan cemerlang mereka dalam beberapa perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Amerika Selatan.

Argentina pula turun ke tangga keempat selepas mengumpul 1,204 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara. - BERNAMA

Artikel Lain