suria

Sukma: Pahang Juara Keseluruhan Acara Woodball

KUALA LUMPUR: Pahang muncuk juara keseluruhan acara sukan tradisional, woodball, yang merupai permainan golf, pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-16, hari ini.

Kutipan satu emas yang diperolehi Natasha Ezzati Mohd Razali dalam kategori individu wanita serta dua perak masing-masing menerusi Nurul Asimah Abdul Aliasah (kategori sama) dan Syed Muhammad Nabil Syed Khairuddin (individu lelaki) membolehkan Pahang ditabalkan juara dengan kutipan lima emas dan dua perak.

Pengurus pasukan Pahang, Ismail Abdul Rahman ketika ditemui Bernama selepas berakhirnya acara berkenaan di OUG Woodball Garden, Jalan Klang Lama, di sini berkata beliau tidak menyangka anak buahnya mempamerkan aksi konsisten sepanjang temasya kali ini.

"Sebelum ini, kita hanya menyasarkan emas dalam tiga acara iaitu individu lelaki dan wanita serta beregu campuran namun kita pencapaian ini melepasi sasaran awal.

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang, pasukan Pahang akan menyertai Kejohanan Woodball Terbuka China pada bulan September ini bagi mendedahkan pemain kepada aksi yang lebih kompetitif," katanya yang telah berkecimpung dalam sukan woodball selama 10 tahun.

Berkongsi pandangan yang sama ialah Natasha Ezzati yang gembira dapat menyumbangkan dua pingat emas untuk kontinjen Tok Gajah walaupun beliau hanya meletakkan sasaran satu emas dalam acara berpasukan.

"Saya amat bersyukur dengan pencapaian yang tidak disangka-sangka ini dan ia adalah berkat doa dan dorongan daripada ibu bapa, jurulatih serta pengurus pasukan," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Sri Semantan, Temerloh itu.

Woodball merupakan antara sukan tradisional yang dipertandingkan pada temasya kali ini selain sofbol, kabbadi dan silambam. - BERNAMA

Artikel Lain