suria

Malaysia Gagal Jinakkan England

JOHOR BARU: Malaysia gagal menjinakkan England dalam perlawanan Kumpulan B pada pusingan separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia di sini malam Selasa selepas tewas 1-2 kepada pasukan itu.

Malaysia sebagai tuan rumah, yang dalam kempen untuk ke Piala Dunia 2014, terikat 1-1 dengan England pada separuh masa pertama.

Gol England dihasilkan pada minit ke-20 apabila Richard Smith menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Tertekan untuk menyamakan kedudukan, Malaysia berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-27 menerusi pukulan kencang Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil.

Kedua-dua pasukan kemudian cuba mengatasi antara satu sama lain menerusi pelbagai taktik namun gagal mengubah keputusan sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Malaysia melakukan lebih banyak serangan namun dihalang anak buah Bobby Crutchley.

Malang menimpa pasukan bimbingan Paul Revington apabila mereka tewas 2-1 selepas Barry Middleton menjaringkan gol padang pada minit ke-57.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Revington berkata Malaysia sudah bermain habis-habisan ketika menentang Afrika Selatan Ahad lepas, yang menyaksikan mereka menang 6-4, justeru, kualiti permainan agak terjejas malam Selasa.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Pakistan membenam Afrika Selatan 6-2.

Gol Pakistan dijaringkan Muhammad Zubair (minit ke-13), Shafqat Rasool (minit ke-17), Abdul Haseem Khan (minit ke-27,41,60), Shakeel Abassi (minit ke-63) manakala gol Afrika Selatan disumbang Wade Paton (minit ke-25) dan Craig Haley (minit ke-69). - BERNAMA

Artikel Lain