suria

Negeri Sembilan Duduki Tangga Teratas Hari Kedua Sukma

KUALA LUMPUR: Kontinjen Negeri Sembilan mengungguli carta pungutan pingat hari kedua temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 dengan mengutip dua pingat emas dan satu gangsa menerusi acara lawan pedang.

Dua pingat emas tersebut diperoleh menerusi lawan pedang iaitu acara Epee individual lelaki yang disumbangkan oleh Mohd Nashriq Adli Noor Jali dan Foil individu wanita, Anis Syaqireen Jamaludin.

Pingat gangsa pula diraih oleh Noorazeera Adeera Noor Jali bagi acara Epee individual wanita yang berlangsung semalam.

Wilayah Persekutuan turun satu anak tangga ke tempat kedua dengan mengutip satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa diikuti Sabah dengan satu pingat emas dan satu pingat gangsa.

Sementara itu, acara bola jaring yang membuka tirainya hari ini menyaksikan pasukan Wilayah Persekutuan, Terengganu, Kedah dan Johor bermula garang apabila menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan awal di Stadium Juara Bukit Kiara.

Skuad bola keranjang Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan memulakan saingan dengan langkah kanan setelah mencatat kemenangan pada saingan peringkat kumpulan di Stadium Bola Keranjang (MABA).

Pasukan polo air lelaki dari Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka turut mempamerkan aksi cemerlang dengan kemenangan pertama peringkat kumpulan yang bermula di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Turut beraksi cemerlang ialah pasukan polo air wanita Melaka dan Selangor.

Acara tumpuan melibatkan pingat pada hari ketiga esok ialah judo dan lawan pedang. BERNAMA

Artikel Lain