suria

Maraton KL Standard Chartered Ahad Ini Ditunda Kepada 29 Sept

KUALA LUMPUR: Acara larian Maraton KL Standard Chartered 2013 yang dijadual Ahad ini telah ditunda kepada 29 Sept ini berikutan keadaan jerebu ketika ini.

Keputusan menangguhkan acara tahunan itu dicapai selepas perbincangan antara penganjur, Dirigo Events Sdn Bhd dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Belia dan Sukan.

Menurut kenyataan hari ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah bersetuju dengan keputusan itu memandangkan risiko kesihatan yang dihadapi oleh lebih 33,000 peserta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib turut berkongsi pandangan sama untuk menangguh acara larian tu kepada tarikh dan keadaan cuaca yang lebih kondusif.

Dalam pada itu, Pengarah Dirigo Events, Rainer Biemans, berkata pihaknya kesal dengan sebarang kesulitan yang dihadapi oleh peserta tetapi menegaskan mereka mengutamakan kesihatan dan keselamatan peserta.

"Dengan tarikh baharu, kami berharap kesemua peserta akan mengambil peluang ini untuk meneruskan latihan dan lebih bersedia dari segi mental untuk menamatkan perlumbaan ini dengan jayanya," katanya.

Bagaimanapun, peserta dari Kuala Lumpur dan Selangor boleh mengambil pek pendaftaran perlumbaan mulai esok hingga Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Peserta dari luar Kuala Lumpur dan Selangor boleh mengambil pek tersebut dari 23 hingga 29 Sept ini.

Peserta digalakkan mengikuti perkembangan larian tersebut dengan melayari laman sesawang rasmi KL Maraton Standard Chartered di www.kl-marathon.com dan facebook.com/scklmarathon.- BERNAMA

Artikel Lain