suria

KBS Anjur Program Belia Lebih Segar, Terkini - Khairy

KLANG: Kementerian Belia dan Sukan menjalankan kajian bagi memperkemas dan menjadikan program belia anjuran kementerian lebih segar dan terkini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata antara yang akan diberikan tumpuan ialah program berkaitan perkembangan kerohanian dan minda seperti akvititi debat serta perbincangan isu semasa.

"Begitu juga dengan golongan belia yang meminati ceramah agama terutamanya membabitkan golongan ustaz selebriti, jadi kita akan bekerjasama dengan pendakwah berkenaan," katanya pada sidang media selepas melawat Jabatan Belia dan Sukan Selangor di Kompleks Rakan Muda Klang di Sementa di sini.

Khairy berkata kajian yang turut membabitkan penjenamaan semula program belia itu akan berlangsung sehinga 2015 dan pelaksanaan program baharu dijangka bermula secara berperingkat, menjelang hujung tahun ini.

Katanya, kajian turut membabitkan penilaian semula selain menerapkan latihan kepimpinan dan sahsiah dalam kalangan remaja.

"Selain itu, program yang dijalankan bersama persatuan belia akan diteruskan seperti futsal, seni mempertahankan diri, sembang belia dan sembang mahasiswa kerana mendapat sambutan yang amat baik," katanya.

Mengulas aktiviti dan program belia di Selangor, Khairy berkata beberapa program akan diberikan nafas baharu serta tumpuan memandangkan negeri itu mempunyai pasaran besar untuk para belia terutamanya dalam bidang keusahawanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain