suria

Johor DT Terlepas Khidmat Aidil Zafuan

PETALING JAYA: Johor Darul Takzim (Johor DT) terpaksa melupakan khidmat pemain pertahanan mereka, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak pada aksi final Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini memutuskan untuk menggantung pemain berkenaan sebanyak dua perlawanan, sekaligus memusnahkan harapan Johor DT untuk menurunkan pemain itu pada aksi final Piala FA nanti.

Pengerusi Jawatankuasa berkenaan Datuk Taufik Abdul Razak berkata pihaknya tidak boleh meminda keputusan pengadil yang melayangkan kad merah ke atas pemain berkenaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan dan Kod Tatatertib FAM.

"Di bawah kesalahan 35.3 (2) peraturan itu, mana-mana pemain yang dikenakan dua kad kuning akan dikenakan penggantungan satu perlawanan.

"Namun dalam kes Mohd Aidil Zafuan ini, beliau dikenakan kad merah terus dan bukannya dua kad kuning, jadi secara automatiknya, beliau digantung dua perlawanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Mohd Aidil Zafuan yang merupakan pemain pertahanan kebangsaan, dilayangkan kad merah oleh pengadil Zamzaidi Katimin kerana melakukan terjahan keras menggunakan kedua-dua belah kakinya ke atas pertahanan Lions XII FC Irwan Shah Arismail pada aksi Liga Super di Singapura, Sabtu lepas.

Taufik berkata prosedur yang sama turut digunapakai ke atas penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James yang menerima dua kad kuning ketika aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Jumaat lepas.

Dalam perkembangan berasingan, Taufik berkata pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi digantung selama tiga bulan dan didenda RM5,000 selepas didapati bersalah menanduk dada pengadil pada aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 11 Mei lepas.

Satu lagi kesalahan melibatkan pemain berkenaan ialah mengeluarkan kata-kata kesat ke atas pengadil selepas diarahkan keluar padang kerana menerima kad kuning kedua.

"Berdasarkan peraturan asal, kita sepatutnya mengenakan penggantungan enam bulan daripada bermain selain didenda RM5,000, namun kerana bersimpati dengan pemain berkenaan, kita bersetuju untuk mengurangkan hukuman kepada penggantungan selama tiga bulan, denda kekal RM5,000.

"Hukuman tersebut akan bermula dari tarikh beliau menerima surat daripada FAM dan hukuman itu tidak boleh dirayu kerana ia adalah minimum," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Alberts Puji Anak Buah

Artikel Lain