suria

Piala Konfederasi: Super Mario Cedera Terpaksa Dihantar Pulang Ke Itali

PENYERANG ITALI Mario Balotelli terkeluar dari kejohanan Piala Konfederasi selepas dia disahkan mengalami kecederaan serius dan terpaksa dihantar pulang ke Itali dengan segera.

Ini bermakna Itali akan kehilangan khidmat penyerang AC Milan itu dalam perlawanan separuh akhir mereka menentang Sepanyol Khamis ini.

Bekas penyerang Manchester City yang berusia 22 tahun itu telah menjadi katalis kepada Itali dalam kejohanan ini dengan menjaringkan gol dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Mexico dan Jepun.

Doktor pasukan, Enrico Castellacci menegaskan yang pemain itu tidak akan dapat kembali cergas antara sekarang sehingga perlawanan akhir Ahad ini dan oleh yang demikian mereka tidak mahu mengambil sebarang risiko.

"Dengan kebenaran pengurus pasukan Cesare Prandelli, kami membuat keputusan untuk menghantarnya pulang pada kadar segera ke Milan," ujar Castellacci lagi.

Dalam kesemua tiga perlawanan Itali di peringkat kumpulan, Balotelli telah bermain sebagai penyerang tunggal dan kini Prandelli perlu memilih antara Alberto Gilardino, Sebastian Giovinco dan rakan sepasukan Balotelli di Milan, Stephan El Shaarawy jika mahu mengekalkan formasi sebelum ini.

Tahun lalu Itali tewas 0-4 di tangan Sepanyol dalam perlawanan akhir Euro 2012 dan Khamis ini adalah waktu yang tepat untuk menebus kembali kekecewaan itu.

Namun begitu dengan prestasi semasa Sepanyol adalah sukar untuk membuat ramalan sebaliknya.

Namun satu berita gembira buat Itali ialah perancang utama Andrea Pirlo disahkan pulih untuk diturunkan Khamis ini selepas dia direhatkan dalam perlawanan dengan Brazil yang menyaksikan Itali tewas 2-4.

Artikel Sebelum

Artikel Lain