suria

KBS Keluar Garis Panduan Penganjuran Kejohanan, Acara Sukan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Selasa membuat ketetapan untuk mengeluarkan garis panduan atau protokol bagi memastikan penganjuran kejohanan sukan dapat dijalankan tanpa menjejaskan kesihatan atlet dan orang ramai berikutan keadaan berjerebu sekarang.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata garis panduan serta protokol yang diputuskan itu ialah had maksimum Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi penganjuran acara atau aktiviti sukan ditetapkan pada paras bacaan 100.

"Ini kerana, bacaan IPU melebihi paras 100 ditakrifkan sebagai tidak sihat oleh Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Selain itu, beliau berkata acara sukan yang dipertandingkan di dalam dewan tertutup (indoor) boleh diteruskan seperti biasa dan ia termasuk beberapa acara pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 yang akan bermula Jumaat ini.

Khairy berkata sesuatu kejohanan atau acara sukan akan ditangguhkan jika IPU di lokasi kejohanan itu menunjukkan bacaan melebihi paras purata harian 100 selama tiga hari berturut-turut sebelum hari kejohanan tersebut berlangsung.

"(Kejohanan itu juga akan ditangguhkan jika) IPU di lokasi kejohanan tersebut menunjukkan trend meningkat selama tiga hari berturut-turut sebelum hari kejohanan itu berlangsung di mana bacaan IPU menghampiri atau mencecah paras purata harian 100," katanya.

Beliau berkata setiap penganjur kejohanan juga akan diberi notis sekurang-kurangnya 24 jam untuk menangguhkan acara atau kejohanan masing-masing, jika perlu.

"Krisis jerebu yang sedang melanda negara pada masa ini semakin merebak dan menebal. KBS sentiasa memantau dan prihatin akan perkembangan krisis jerebu ini kerana ia mengancam kehidupan dan kesihatan segenap lapisan rakyat," katanya.

Dalam tempoh dua minggu akan datang, empat kejohanan utama sukan akan berlangsung di negara ini iaitu Sukma ke-16 di sekitar Lembah Klang dari 28 Jun-7 Julai; Kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Baharu (29 Jun-7 Julai); Kejohanan Berbasikal Jelajah Malaysia dari Kuala Lumpur ke Melaka (26-30 Jun) dan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Khairy berkata kementerian juga menyarankan agar mana-mana penganjur acara atau kejohanan lain akan turut sama menggunakan pendekatan garis panduan itu bagi memastikan kesihatan peserta dan penonton terus terjaga.

Dalam pada itu, katanya KBS dengan kerjasama Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara akan terus memantau bacaan IPU di setiap lokasi kejohanan utama berkaitan, ke arah melaksanakan pematuhan garis panduan itu.

"Walaupun KBS prihatin akan persediaan yang telah dilaksanakan dan kos yang telah dibelanjakan untuk pelbagai acara atau kejohanan tersebut, KBS berpandangan bahawa kepentingan rakyat perlu didahulukan demi kebaikan kita bersama," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain