suria

Juara Jerman & Eropah Perkenal Pep Guardiola Sebagai Pengurus Baru Mereka

JUARA JERMAN dan Eropah, Bayern Munich secara rasminya memperkenalkan Pep Guardiola - bekas pengurus FC Barcelona - sebagai pengurus mereka yang baru.

Guardiola yang mengambil cuti rehat selama lebih setahun daripada sebarang aktiviti bolasepak kerana keletihan kini telah kembali untuk mengemudi pasukan baru musim depan.

“Saya sudah bersedia dan ini adalah cabaran baru buat saya.

“Masa yang bersama Barcelona sangat menakjubkan tetapi saya memerlukan cabaran baru dan Bayern Munich mampu memberikan cabaran tersebut," ujarnya lagi dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Allianz Arena Munich pada Isnin.

Sepanjang sidang akhbar di hadapan lebih 250 wartawan tempatan itu, Guardiola bertutur dalam bahasa Jerman tanpa ragu-ragu.

Guardiola, yang menolak tawaran untuk mengurus Chelsea, Manchester United dan Manchester City, turut menjelaskan mengapa beliau memilih Bayern.

“Bayern menjadi pilihan saya kerana sejarahnya yang luar biasa dan kerana para pemain yang ia miliki juga kerana pasukan pengurusannya yang sangat menakjubkan.

"Mereka membuat tawaran dan saya tidak teragak-agak untuk terus menyatakan ya," kata Guardiola lagi.

Ditanya mengenai tekanan yang bakal dihadapinya kerana terpaksa memikul bebanan kejayaan yang dicapai oleh pengurus terdahulu Jupp Heynckes, Guardiola menjawab yang ia adalah satu keadaan yang perlu dihadapinya.

Guardiola mengambil alih sebuah pasukan yang telah memenangi empat trofi sepanjang tahun lalu termasuklah Piala Liga Juara-Juara Eropah.

Jadi masuk musim baru nanti beliau akan memimpin penyandang juara bagi mempertahankan empat piala.

Guardiola dilihat sebagai pengurus paling berbakat dan luar biasa yang pernah dilahirkan oleh Eropah selepas Sir Alex Ferguson - memenangi 14 trofi sepanjang memimpin Barcelona.

PROFIL PEP GUARDIOLA:

LAHIR: 18 Januari 1971 di Santpedor, Sepanyol.

BERMAIN MEWAKILI KELAB: Barcelona B (1990-92); Barcelona (1990-2001); Brescia (2001-02); Roma (2002-03); Brescia (2003); Al-Ahli (2003-05); Dorados (2005-06).

KARIER ANTARABANGSA: 47 kali (Sepanyol - 1992-2001).

KARIER SEBAGAI PENGURUS: Barcelona B (2007-08); Barcelona (2008-2012).

PENCAPAIAN SEBAGAI PENGURUS:

> 3 Juara La Liga;

> 3 Supercopa de Espana;

> 2 Copa Del Rey;

> 2 Liga Juara-Juara Eropah;

> 2 Piala Super Uefa;

> 2 Piala Fifa Kelab Dunia.

PENCAPAIAN SEBAGAI PEMAIN:

> 6 Juara La Liga;

> 2 Copa del Rey;

> 1 Supercopa de Espana;

> 1 Piala Eropah;

> 2 Piala Super Uefa;

> 1 Piala Juara-Juara Uefa;

> 1 Pingat Emas Olimpik.

Artikel Sebelum

Artikel Lain