suria

Jerebu: Kejohanan Sukan Special Olympics Di Kuantan Ditunda

KUANTAN: Kejohanan Sukan Special Olympics peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung di Kuantan mulai Isnin sehingga 27 Jun ini ditunda akibat jerebu, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kelainan Upaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Adnan Abu Bakar.

Beliau berkata tarikh baharu kejohanan itu akan diputuskan kemudian.

"Tindakan penundaan itu terpaksa dibuat selepas mendapat nasihat daripada semua doktor pengiring kontinjen-kontinjen dan kerajaan negeri Pahang," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Majlis perasmian kejohanan itu dijadual diadakan 8 malam ini di Stadium Darul Makmur di sini oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Bagaimanapun, beliau berkata semua 15 kontinjen pada kejohanan itu akan terus berada di Kuantan sehingga 27 Jun ini.

"Mereka (atlet) akan terlibat aktiviti dalaman seperti bengkel, seminar dan sebagainya," katanya.

Kejohanan itu sepatutnya mempertandingkan sebanyak enam jenis acara sukan iaitu olahraga, bola sepak, renang, berkuda, boling dan bocce di tiga lokasi iaitu Stadium Darul Makmur, Kompleks Kolam Renang Indera Mahkota dan Berjaya Megamall.

Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 12 tengah hari Isnin menunjukkan dua kawasan di Kuantan iaitu Balok Baru dan Indera Mahkota masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, masing-masing 198 dan 171. - BERNAMA

Artikel Lain