suria

Jerebu: KBS Belum Cadang Batal Penganjuran Acara Sukan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) belum bercadang membatalkan penganjuran beberapa acara sukan penting, termasuk bertaraf antarabangsa, kerana masih memantau situasi jerebu yang mungkin bertambah baik.

Acara itu termasuk Kejohanan Berbasikal Jelajah Malaysia, Kejohanan Hoki Liga Dunia 3 dan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16.

"Kejohanan Berbasikal akan berlangsung pada 26 hingga 30 Jun ini manakala Kejohanan Hoki akan berlangsung pada 29 Jun hingga 7 Julai depan sementara SUKMA akan berlangsung 28 Jun hingga 7 Julai depan," menurut KBS dalam satu kenyataan di sini Ahad.

Kenyataan itu menyebut Institut Sukan Negara akan memantau pola atau trend tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam masa tiga hari akan datang, dan jika ia tidak menunjukkan perkembangan positif atau meningkat melebihi tahap bahaya, badan berkenaan akan menasihati KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung tindakan selanjutnya.

Sekiranya tidak terdapat perubahan positif dalam masa terdekat, KBS akan mencadangkan agar kejohanan berbasikal, kejohanan hoki dan acara SUKMA yang melibatkan pertandingan luar dewan ditangguh.

"Adalah diharap agar tahap IPU akan menunjukkan trend menurun dalam masa tiga hari yang akan datang agar keadaan cukup selamat dan sihat untuk atlet berprestasi tinggi serta orang awam menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain