suria

Pelumba TSG Mohd Shahrul Juara Acara Lebuh Raya Lelaki Elit

KANGAR: Pelumba TSG Terengganu Mohd Shahrul Mat Amin menjuarai acara lebuh raya lelaki elit Kejohanan Lumba Basikal Kebangsaan 2013, menewaskan lebih 100 peserta lain di sini Sabtu.

Pelumba berusia 24 tahun itu mencatat masa empat jam, 39 minit dan 56 saat (4:39.56) untuk menamatkan kayuhan sejauh 198.9 kilometer.

Rakan sepasukannya, Nur Amirull Fakharuddin yang mencatat masa sama, ketinggalan di tempat kedua apabila foto penamat menyaksikan Mohd Shahrul tiba terlebih dahulu di garisan akhir.

Tempat ketiga disandang pelumba ATM Mohd Adiq Husaini Othman, yang turut mencatat masa 4:39.56.

Seorang lagi pelumba ATM, Mohd Zamri Saleh terpaksa berpuas hati di tangga keempat apabila mencatat masa 4:40.48 manakala pelumba TSG Mohd Saiful Anuar Aziz, yang mencatat masa sama, di tangga kelima.

Kejohanan dua hari anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Persatuan Berbasikal Negeri Perlis dan kerajaan negeri itu akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Sementara itu, acara lebuh raya wanita elit sejauh 132.6 kilometer dimenangi pelumba Pahang Nursyazwana Mohd Jamil, 19, dengan catatan masa 3:47.19 manakala tempat kedua disandang pelumba Perlis Jupha Som Net (3.47.42).

Tempat ketiga acara itu dimenangi pelumba Kedah Masziyaton Mohd Radzi, keempat pelumba Terengganu Nursuhada Zainal manakala pelumba Selangor Grace Phang Ching Zhen di tangga kelima.

Mereka mencatat masa yang sama seperti Jupha, yang merupakan pelumba wanita kebangsaan.

Kira-kira 50 pelumba wanita menyertai acara itu, yang bermula di Dataran Merdeka di sini. -BERNAMA

Artikel Lain