suria

Surat Pelantikan Azzuddin Sebagai Setiausaha Agung AFF Dijangka Diterima Selasa Ini

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata surat pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dijangka diterima selewat-lewatnya Selasa ini.

Azzudin berkata beliau akan memastikan perancangan untuk sukan bola sepak di seluruh Asean akan terus diperhebat, termasuk program melibatkan pencarian bakat di peringkat akar umbi.

"Di manapun kita bekerja, pasti ada cabaran dan kita perlu menghadapinya dan meneruskan kejayaan yang dikecapi sehingga ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kompleks Sukan Tertutup MOM pada Sabtu.

Mengulas spekulasi kekosongan jawatan Setiausaha Agung FAM, Azzudin berkata beliau percaya mana-mana individu yang dilantik akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan spekulasi yang beliau akan mengantikan Azzudin sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu.

"Saya tidak boleh menjawab spekulasi berkenaan sebab jawatan itu hanya akan dititah oleh Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden FAM.

"Dengan pengalaman beliau (Hamidin) hampir 20 tahun dalam pentadbiran bola sepak, saya percaya di peringkat FAM, beliau dapat laksanakan tugas dengan baik.

"Saya menaruh harapan tinggi sepenuhnya kepada beliau sekiranya Datuk Hamidin dititah Tuanku (Sultan Ahmad Shah) untuk mengambil alih jawatan saya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain