suria

Pertemuan Lions XII & Johor DT di Singapura Berlangsung Seperti Dijadualkan

KUALA LUMPUR: Perlawanan Liga Super antara dua pasukan teratas liga, Lions XII FC dan Johor Darul Takzim ((Johor DT) akan berjalan seperti dijadualkan di Stadium Jalan Besar, Singapura, esok.

Keputusan itu dicapai oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengadakan mesyuarat khas membincangkan mengenai tahap pencemaran udara atau jerebu di Malaysia dan Singapura pada Jumaat.

FAM dalam kenyataan berkata pkedua-dua pasukan telah memberikan persetujuan secara bertulis untuk meneruskan perlawanan seperti dijadualkan.

Kenyataan itu juga menyebut perlawanan ke-19 dalam liga berkenaan adalah penting untuk menentukan kedudukan pasukan dalam Liga Super selain faktor tiket perlawanan berkenaan telah habis dijual.

"Urusan keselamatan di Stadium Jalan Besar juga telah ditempah awal dan permainan akan dijalankan pada waktu malam di mana tahap pencemaran udara adalah kurang daripada waktu siang," kata FAM.

Badan induk bola sepak kebangsaan itu berkata mana-mana pasukan yang berhasrat beraksi di venue dengan bacaan Indeks Pencamaran Udara (IPU) melebihi 100 iaitu kategori tidak sihat dibenarkan meneruskan permainan.

Bagaimanapun, namun mereka harus menandatangani surat akujanji bahawa mereka akan menanggung apa-apa kesan yang timbul dari perlawanan itu.

FAM turut menasihatkan mana-mana pasukan yang dijadualkan bermain pada sebelah petang untuk menukar waktu permainan kepada malam namun perlu mendapat kelulusan badan induk itu terlebih dahulu.

Dalam kenyataan berasingan, FAM menjelaskan kunjungan Naib Presidennya, Datuk Afandi Hamzah ke Slovakia, Ahad lepas, bertujuan untuk memantau latihan dan perkembangan pasukan Harimau Muda A yang merupakan tanggungjawab beliau selaku pengurus pasukan.

"Sesungguhnya beliau sepatutnya berada bersama pasukan sepenuh masa namun disebabkan tugas harian, maka beliau tidak dapat berbuat demikian.

"Pemergian beliau adalah di bawah bidang tugasnya di mana beliau dikehendaki melaporkan perkembangan terkini pasukan Harimau Muda kepada Exco FAM yang akan bersidang pada 17 Julai ini," kata FAM.

Kenyataan itu menyebut bahawa kunjungan berkenaan adalah penting bagi memantau persiapan pasukan bimbingan Ong Kim Swee itu untuk menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar Disember ini di mana FAM telah meletakkan sasaran untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia.

"Di dalam surat pemakluman sebelum berlepas, Datuk Afandi memberitahu bahawa beliau akan membawa keluarganya bersama ke Slovakia, atas tanggungan sendiri," menurut kenyataan itu.

Pada Selasa lepas, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebooknya, mendakwa bahawa tujuan FAM menghantar skuad Harimau Muda A menjalani latihan di Slovakia adalah bagi memudahkan pegawai FAM dan isteri masing-masing melancong.

Beliau yang kini menjalani penggantungan selama 30 bulan ekoran kritikan terhadap prestasi skuad kebangsaan turut mempersoalkan mengenai prosedur FAM melantik ejen yang terlibat dalam kunjungan skuad Harimau Muda A ke negara itu dibuat sama ada menerusi tender atau sebut harga. -BERNAMA

Artikel Lain