suria

Kebanyakan Peyandang Jawatan OCM Kekalkan Kedudukan Pada AGM

KUALA LUMPUR: Menyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini, Sabtu menyaksikan kebanyakan penyandang jawatan dalam majlis itu mengekalkan kedudukan masing-masing untuk penggal 2013/2015.

Datuk Sieh Kok Chi kekal sebagai setiausaha agung dalam pertandingan satu lawan satu dengan bekas penolong setiausahanya T. Kumar, manakala Yong Choo Kong mengekalkan jawatan bendahari.

Bagaimanapun, Datuk A. Sani Karim kehilangan jawatan timbalan presiden apabila kalah kepada Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim.

Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar mengekalkan jawatan presiden OCM tanpa pertandingan, begitu juga penolong setiausaha kehormat Edwin Chong Ah Kew dan Moira Tan Siew See serta penolong bendahari kehormat Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin.

Dua muka baharu dalam barisan naib presiden OCM ialah presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalif dan naib presiden Persekutuan Olahraga Malaysia Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar.

Datuk Low Beng Choo, Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah masing-masing mengekalkan jawatan naib presiden.

Becakap kepada pemberita, Tunku Imran berkata penyandang jawatan dalam OCM yang baharu dipilih itu akan melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin secepat mungkin dan antara isu yang akan dikemukakan ialah usaha Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

OCM akan menyerahkan laporan lengkap mengenai perkara itu kepada Khairy untuk dikemukakan kepada kabinet.

"Buat masa ini, kami tiada sebarang kejohanan besar, selain Sukan SEA dalam fikiran kami. Kami berpendapat Sukan SEA amat penting didakan di sini," katanya.

Beliau berkata menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 memberi manfaat kepada negara memandangkan atlet Malaysia mempamerkan prestasi lebih baik apabila beraksi di gelanggang sendiri seperti yang terbukti pada Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001.

Mengulas tentang kekalahan Sani, Tunku Imran berkata Sani seorang pentadbir yang berpengalaman dan beliau mengucapkan terima kasih kepadanya atas segala khidmat bakti yang dicurahkannya selama ini. -BERNAMA

Artikel Lain