suria

Saya Sedia Jumpa Khairy - Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengenai soal masa depan sukan itu.

"Saya boleh berjumpa dan bersedia dengan sesiapa sahaja termasuk beliau (Khairy) pada bila-bila masa sahaja," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khairy yang hanya mahu bertemu dengan mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan untuk berbincang mengenai isu berkenaan.

Semalam, Khairy dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau bersedia untuk berjumpa dengan pegawai tertinggi badan induk bola sepak negara itu seperti Tengku Abdullah dan bukannya menerusi media tempatan.

Menyentuh mengenai komen penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengenai kunjungan skuad Harimau Muda A ke Slovakia, Tengku Abdullah berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi yang boleh menimbulkan percanggahan pendapat di antara pihak yang terlibat.

"Saya tidak berani untuk buat spekulasi...saya sendiri pun tidak terlibat dalam hal ini (kunjungan skuad Harimau Muda A ke Slovakia).

"Kita hanya buat dasar sahaja...itu adalah hal pentadbiran dan saya tidak suka menuding jari menuduh kakitangan FAM," katanya.

Annuar menerusi laman Facebooknya semalam mendakwa bahawa tujuan badan induk bola sepak negara itu menghantar skuad bimbingan Ong Kim Swee menjalani latihan di Slovakia adalah bagi memudahkan pegawai FAM dan isteri masing-masing melancong.

Beliau yang kini menjalani penggantungan selama 30 bulan ekoran kritikan terhadap prestasi skuad bola sepak kebangsaan turut mempersoalkan mengenai prosedur FAM melantik ejen yang terlibat dalam kunjungan skuad Harimau Muda A ke negara itu dibuat sama ada menerusi tender atau sebut harga.

Dalam perkembangan yang sama, Tengku Abdullah menegaskan jumlah penajaan sebanyak RM30 juta setahun yang diterima oleh FAM menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia untuk membantu pasukan yang terlibat adalah tidak mencukupi.

"Saya tidak terlibat dalam pengurusan dana FAM...apa yang saya tahu memang ada penajaan dan saya percaya sudah ada peruntukan untuk kesemua pasukan terlibat sebagaimana yang diputuskan oleh FAM.

"(Malahan) setiap tahun, kita (FAM) ada membuat audit mengenai penyata kewangan kita...walau bagaimanapun saya percaya perbelanjaan RM30 juta (setahun untuk Liga Malaysia) memang tidak cukup," katanya.

Annuar sebelum ini mempersoalkan cara FAM membelanjakan jumlah RM30 juta berkenaan yang sepatutnya digunakan bagi membantu persatuan negeri yang menghadapi masalah kewangan.

Beliau dilaporkan berkata pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia turut mempunyai hak ke atas wang berkenaan dan bukannya milik FAM semata-mata.

Terdahulu, Tengku Abdullah yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hadir pada majlis minum petang bersama barisan pegawai MHC dan skuad hoki kebangsaan di salah sebuah hotel, di sini, Khamis. BERNAMA

Artikel Lain