suria

Piala Konfederasi: Sepanyol Bermain Dengan Penuh Bergaya

SEPANYOL memulakan kempen Piala Konfederasi mereka dengan penuh bergaya menumpaskan Uruguay 2-1.

Bekas kapten Arsenal, Cesc Fabregas membuat percubaan cantik ke arah pintu gol lawan tetapi sasarannya terkena palang sebelum Pedro mengutip muntahan tersebut lalu menerjah bola dari jarak 22 ela sebelum ia terkena pemain pertahanan Uruguay, Diego Lugano lalu terus masuk ke gawang.

Roberto Soldado kemudiannya menjaringkan gol kedua Sepanyol juga hasil gerakan cantik Fabregas.

Gol Uruguay dijaringkan oleh Luis Suarez menerusi sepakan percuma dari jarak 30 ela.

Walaupun Uruguay memberikan tentangan yang kuat tetapi Sepanyol berhak meraih kemenangan di atas persembahan hebat mereka sepertimana juga Brazil pada hari pembukaan kejohanan ini.

Sekali lagi pasukan kendalian Vicente del Bosque ini telah membuktikan mengapakah mereka wajar menjadi pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia dalam tempoh 12 bulan dari sekarang.

Sepanyol adalah juara bertahan Piala Dunia yang berlangsung di Afrika Selatan tiga tahun yang lalu dan juga juara Piala Negara-Negara Eropah.

Mereka kini bermain tanpa kalah dalam 23 perlawanan antarabangsa - 18 daripadanya berakhir dengan kemenangan.

Uruguay menurunkan lapan pemain yang bermain pada peringkat separuh akhir dan juga tempat keempat Piala Dunia yang lalu tetapi mereka masih tidak dapat mengekang gerakan pantas Sepanyol.

Statistik permainan menunjukkan Sepanyol menguasai 92% gerakan di atas padang.

Penyerang Uruguay Edinson Cavani, yang kini dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris sekali sekali membuat gerakan yang mengancam Iker Casillas tetapi masih gagal menembusi gawang Sepanyol.

Bekas pertahanan Manchester United yang kini bermain untuk Barcelona, Gerard Pique sepatutnya menambahkan lagi kesengsaraan Uruguay tetapi percubaannya berjaya diselamatkan oleh Muslera.

Uruguay menyertai kejohanan ini selaku juara Amerika Selatan setelah memenangi Piala Copa America pada tahun 2011.

Pengurus Uruguay, Oscar Tabarez menegaskan pasukannya bernasib baik tidak tewas dengan jaringan yang lebih besar manakala penyerang sensasi Suarez pula berkata adalah sukar untuk membuat percubaan ke arah gol jika mereka tidak memperolehi hantaran bola.

SENARAI PEMAIN:

SEPANYOL:

Casillas, Pique, Ramos, Arbeloa, Alba, Xavi (Martinez - 77), Fabregas (Cazorla - 65), Busquets, Iniesta, Pedro (Mata - 81), Soldado.

Simpanan: Valdes, Reina, Albiol, Azpilicueta, Monreal, Martinez, Cazorla, Silva, Navas, Villa, Torres, Mata.

URUGUAY:

Muslera, Lugano, Godin, Pereira, Caceres, Gargano (Lodeiro - 63), Rodriguez, Perez (Forlan - 69), Ramirez (Gonzalez Luengo - 46), Suarez, Cavani.

Simpanan: Castillo, Silva, Coates, Aguirregaray, Scotti, Pereira, Eguren, Lodeiro, Arevalo Rios, Gonzalez Luengo, Forlan, Hernandez.

Artikel Lain