suria

Rozabil Dipilih Presiden PFA

KANGAR: Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman hari ini dipilih sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi menggantikan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Pemilihan Rozabil, seorang ahli perniagaan, dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PFA kali ke-20 di Hotel Seri Malaysia di sini.

Bagaimanapun, Rozabli, yang juga Penolong Bendahari Pemuda Umno, tidak hadir pada mesyuarat itu tetapi telah menyatakan persetujuan untuk menerajui persatuan itu.

Sebelum ini, bekas Timbalan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad tidak berminat untuk mengambil alih kepimpinan PFA.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man juga menolak tawaran menerajui PFA.

Timbalan Presiden PFA Azahar Ahmad memberitahu pemberita bahawa agenda utama AGM itu adalah bagi memilih pengganti Shahidan sebagai presiden.

PFA terpaksa mencari presiden baharu selepas FAM menggantung Shahidan selama 30 bulan dan didenda RM39,000 pada Februari atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang menyalahi Artikel 88 FAM.

Azahar berkata tugas utama PFA di bawah kepimpinan baharu ialah memulihkan keupayaan persatuan itu dan pasukan Singa Utara yang kini dilihat sebagai kehilangan taringnya.

Beliau berkata PFA akan memohon bantuan kerajaan negeri Perlis bagi menyelesaikan masalah kewangan termasuk membayar gaji pemain.

"Kami juga ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menyalurkan dana khas RM500,000 bagi membantu PFA baru-baru ini," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain