suria

Piala FA: KAFA Tawar RM1,000 Tangkap Penyokong Liar

KOTA BARU: Buat julung kali, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menawarkan ganjaran RM1,000 kepada mana-mana penyokong mereka yang dapat menangkap penyokong sendiri yang cuba mencetuskan kekacauan pada final Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT), 29 Jun ini.

Timbalan Presidennya Datuk Afandi Hamzah berkata inisiatif itu, yang mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bertujuan mendisiplinkan penyokong Kelantan pada perlawanan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Mana-mana individu yang dapat menangkap penyokong yang bertindak liar seperti melempar batu, botol dan sebagainya akan mendapat imbuhan RM1,000," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung KAFA kali Ke-58 dan 59 di sini, Sabtu.

Afandi berkata FAM juga telah bersetuju untuk membenarkan persatuan negeri Kelantan dan Johor meletakkan 100 marsyal masing-masing bagi mengawal penyokong kedua-dua pasukan yang hadir pada perlawanan itu.

Beliau berkata ganjaran dan pelantikan marsyal itu adalah salah satu cara yang efektif untuk mengawal penyokong daripada melakukan tindakan tidak sepatutnya yang kelak boleh menyebabkan KAFA berdepan dengan hukuman.

Katanya sokongan penyokong adalah amat penting dalam pertemuan akhir itu namun dalam masa yang sama KAFA berharap penyokong Kelantan agar menjaga tingkah laku dan sentiasa mengelak daripada mencetuskan suasana tegang.

Menurutnya FAM telah meminta penyokong Kelantan agar memasuki pintu stadium sebelah kiri manakala penyokong Johor DT pintu sebelah kanan bagi menyaksikan perlawanan itu.

"Kelantan juga telah diperuntukkan sebanyak 30,000 tiket yang akan dijual pada 24 Jun ini dengan harga RM40 setiap tiket," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain