suria

Phil Mickelson Sah Ambil Bahagian Pada CIMB Classic 2013

KUALA LUMPUR: Pemain nombor 10 dunia, Phil Mickelson telah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Golf CIMB Classic 2013 yang bakal berlangsung di lapangan baharu - Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) - dari 24 hingga 27 Oktober ini.

Kumpulan CIMB, selaku penganjur, dalam kenyataan di sini hari ini, berkata selain Mickelson, bekas juara Ben Crane, Bo Van Pelt dan Nick Watney turut mengesahkan penyertaan masing-masing.

Sejak tiga tahun lepas, kejohanan tersebut diadakan di lapangan The Mines Resort & Golf Club di Seri Kembangan, Khamis.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak dalam kenyataan berkata mereka gembira untuk melihat kehadiran bekas-bekas juara seperti Ben, Bo dan Nick serta tidak sabar untuk melihat kemunculan sulung Mickelson di Malaysia.

"Saya yakin CIMB Classic tahun ini akan menjadi satu lagi penampilan bakat yang menakjubkan. CIMB Classic kini menjadi acara tarikan dalam kalender Jelajah PGA," katanya.

Beliau berkata kejohanan tersebut telah berkembang dari segi kekuatan sejak empat tahun lalu dan tahun ini ia membuat kemunculan sulung sebagai acara Piala FedEx dalam Jelajah PGA dengan bilangan ramai pemain, hadiah wang tunai dan lapangan baharu.

"KLGCC adalah venue yang akan memberi kita skala yang diperlukan untuk membawa kejohanan ini ke peringkat seterusnya," katanya.

CIMB Classic tahun ini akan menjadi acara rasmi pertama Piala FedEx pada Jelajah PGA di Asia dan pemain Jelajah PGA akan dianugerahkan mata untuk piala tersebut.

Mickelson adalah tidak asing kepada Asia setelah mengambil bahagian pada kejohanan tahunan Terbuka Singapura sejak 2007 serta pelbagai penampilan dan merangkul dua gelaran pada Kejohanan Dunia di Shanghai, China.

Mickelson, yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-43 Ahad ini, dalam kenyataan berkata:" Mendengar perkara yang hebat tentang Kuala Lumpur dan CIMB Classic daripada mereka yang bermain di sana. Ini akan menjadi kunjungan pertama saya ke Malaysia dan saya benar-benar teruja dan tidak sabar untuk menimba pengalaman."

"CIMB Classic menawarkan peluang yang sangat baik untuk pemain Jelajah PGA bersaing di Asia dan kejohanan itu memainkan peranan dalam mempromosikan permainan ini di peringkat global.

" Saya fikir ia adalah hebat dan menjadi sebahagian daripada Piala FedEx...ia pasti mendorong daya saing kejohanan dan menggalakkan kehadiran pemain Amerika Syarikat di rantau ini," kata Mickelson, yang kini menghuni ranking ke-10 dunia dan kelima dalam Piala FedEx.

Beliau juga adalah pemenang 41 kejohanan dalam siri Jelajah PGA termasuk empat gelaran major pada Kejohanan Masters pada 2004, 2006 dan 2010 dan Kejohanan PGA pada 2005.

CIMB Classic 2013 menawarkan hadiah wang tunai yang lebih tinggi iaitu US$ 7 (RM21.9 juta) berbanding US$6.1 juta (RM19.1 juta) pada tahun sebelum ini.

Kejohanan tersebut, yang diktiraf bersama oleh Jelajah Asia, akan menampilkan 78 pemain iaitu 60 daripada Jelajah PGA, 10 daripada Jelajah Asia dan lapan pemain penaja termasuk dua pemain Malaysia.

Juara kejohanan ini juga akan menerima pengecualian dua tahun untuk beraksi pada Jelajah PGA.- BERNAMA

Artikel Lain