suria

Tiket Akhir Piala FA Mula Dijual 25 Jun Ini

PETALING JAYA: Tiekt bagi perlawanan akhir Piala FA di antara pasukan Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) akan mula dijual pada 25 Jun ini di negeri masing-masing.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, tiket-tiket akan diagihkan kepada Kelantan Dan Johor pada 24 Jun ini.

"Sebanyak 30,000 tiket akan diagihkan kepada setiap negeri dan baki sebanyak 27,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 28 Jun, pukul 9 pagi sehingga hari Sabtu sebelum perlawanan.

"Hanya empat tiket sahaja akan dijual untuk setiap orang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Dan harga setiap tiket bernilai RM40 sekeping bagi orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak," jelasnya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA, Khamis.

Hamidin juga berkata, menjelang perlawanan akhir ini seramai 1,500 orang anggota polis akan bertugas bersama 500 orang pasukan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Selain bantuan berkuasa bagi memastikan perlawanan akhir ini berjalan lancar, pihak FAM juga turut mengambil inisiatif untuk memberi saguhati sebanyak RM1,000 kepada sesiapa sahaja yang berjaya membantu menangkap individu yang cuba melakukan kekecohan seperti membaling barang-barang terlarang ke dalam stadium.

"Dan seperti persetujuan kedua-dua pihak (Kelantan dan JDT), kami bersetuju untuk melantik 100 orang penyokong dari setiap negeri menjadi marsyal bagi ketika perlawanan berlangsung.

"Ini adalah untuk memastikan agar penyokong kedua-dua belah pihak berada dalam keadaan tenang sepanjang aksi tersebut," jelasnya.

Hamidin juga turut menegaskan bahawa pemantauan tiket akan dilakukan bagi mengelakkan kejadian tiket palsu berlaku pada perlawanan akhir ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Sri Wira Salleh Mat Rasid berkata,pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Semua penyokong yang hadir dinasihatkan agar tidak mebawa barang-barang terlarang seperti mercun dan sebagainya.

"Pihak PDRM akan menyediakan tenaga untuk keselamatan sebelum, semas dan selepas perlawanan.

"Penyokong-penyokong juga turut diingatkan agar mendapat maklumat-maklumat terkini dari pihak polis, terutama dari segi trafik.

"Tiada perkara yang tidak diingin berlaku sekiranya semua pihak mengikut arahan," jelasnya yang turut hadir pada sidang media tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain