suria

Harimau Malaya Tebus Aib Kalahkan Sydney Olyimpic FC 4-0

KUALA LUMPUR: Selepas diaibkan pada aksi sulung dalam siri Jelajah Australia minggu lepas, skuad Harimau Malaya bangkit penuh bergaya apabila menumpaskan Sydney Olympic FC 4-0 pada perlawanan persahabatan kedua di Belmore Sports Ground, Sydney pada Selasa.

Penyerang Selangor, Amri Yahyah muncul wira apabila meledak hatrik pada babak kedua permainan manakala satu gol lagi menerusi ketua pasukan, Safiq Rahim seawal minit kesembilan.

Amri bertindak cemerlang apabila menyumbat masuk gol pada minit ke-50, 73 dan seminit sebelum permainan tamat (ke-89).

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya dipalit aib dalam perlawanan persahabatan pertama mereka di Australia Khamis lepas, apabila kecundang 2-3 kepada Canberra FC sehingga akhbar The Canberra Times memilih menggunakan tajuk "Pemain Sambilan Raih Kemenangan ke atas Pasukan Kebangsaan".

Pasukan kebangsaan akan menamatkan jelajah di Australia dengan perlawanan terakhir menentang Marconi Stallions FC pada Khamis ini.

Jelajah itu adalah sebahagian persiapan skuad Harimau Malaya untuk menghadapi Bahrain pada perlawanan ketiga kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur 15 Oktober ini. -BERNAMA

Artikel Lain