suria

FAM Nafi Terima Habuan Menerusi Latihan Skuad Harimau Malaya di Australia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)menafikan dakwaan kononnya ada individu atau pihak tertentu yang meraih habuan menerusi kem latihan dan perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya di Australia.

FAM dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa beberapa prosedur perlu dipatuhi sebelum keputusan dibuat berhubung program latihan berkenaan.

Pada peringkat pertama, permohonan bagi tujuan kem latihan di luar negara akan dikemukakan ketua jurulatih dengan persetujuan pengurus pasukan kepada Sekretariat FAM.

Sekretariat FAM seterusnya mempersembahkan permohonan serta anggaran perbelanjaan kepada Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan-Pasukan Kebangsaan, Sultan Ahmad Shah untuk diperkenan baginda.

"Hanya selepas diluluskan Tuanku Presiden FAM dan sesuai dengan kemampuan kewangan FAM, barulah pasukan kebangsaan akan membuat persediaan selanjutnya untuk kem latihan di luar negara," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa prosedur sama dipraktikkan untuk semua pasukan bola sepak kebangsaan. "Jadi adalah sama sekali tidak berasas untuk mana-mana pihak mendakwa bahawa ada individu atau pihak tertentu membuat keputusan secara tersendiri (berhubung kem latihan di luar negara)," katanya.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan wakil bagi kumpulan yang menggelarkan diri mereka Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ), Alfadli Awaludin mendakwa ada individu meraih habuan dalam mengatur perlawanan di Australia.

Skuad Harimau Malaya menerima aib dalam perlawanan persahabatan pertama mereka di Australia pada Khamis lepas, apabila kecundang 2-3 kepada Canberra FC sehingga akhbar The Canberra Times memilih menggunakan tajuk "Pemain Sambilan Raih Kemenangan ke atas Pasukan Kebangsaan".

Pasukan kendalian Datuk K. Rajagobal itu akan berdepan pasukan Marconi Stallions FC dalam aksi kedua persahabatan hari ini, sebelum melengkapkan kem latihan mereka di Australia menentang Sydney United FC pada Khamis ini. -BERNAMA

Artikel Lain