suria

Mourinho Sahkan JT Kekal Kapten Pasukan

PENGURUS CHELSEA, Jose Mourinho mengesahkan yang John Terry (JT) akan kekal sebagai kapten pasukan sekiranya pemain pertahanan itu terpilih untuk bermain.

Terry, 32, adalah kapten pasukan Chelsea dan memimpin kelab itu memenangi kejuaraan liga sebanyak dua kali ketika Mourinho pertama kali mengurus Stamford Bridge pada tahun 2004.

Dia mula mewakili kelab London itu pada tahun 1998 dan mulai 2003 mula terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan England.

Sepanjang kariernya bersama Chelsea, JT telah memenangi Piala Liga Juara-Juara Eropah; Piala Liga Europa; tiga kejuaraan liga perdana; lima Piala FA; dua Piala Liga dan juga pernah dianugerahkan Pemain Tahunan Persatuan Pemain-Pemain Profesional Inggeris.

Bagaimanapun, JT bukan menjadi pilihan bos interim Chelsea Rafael Benitez separuh baki musim yang baru berakhir bulan lalu.

Mourinho menegaskan: "Ya John adalah kapten kelab ini. Saya gembira melihat dia memimpin pasukan ini di atas padang dan begitu juga dengan para peminat."

Namun begitu, Mourinho turut menegaskan ini tidak bermakna kesemua pemain lama yang pernah berada di bawah bimbingannya akan terpilih secara automatik di dalam barisan kesebelasan utama pasukan.

Mourinho turut mengesahkan yang dia akan memberi keutamaan kepada masa depan penyerang Sepanyol bernilai £50 juta, Fernando Torres.

Jurulatih asal Portugal itu sebenarnya belum memuktamadkan tentang siapakah yang bakal menjadi penyerang pilihannya.

Dia dikaitkan dengan pembelian penyerang Napoli yang dianggarkan bernilai £50 juta, Edinson Cavani dan penyerang Zenit St Petersburg, Hulk dari Brazil.

"Memang benar, Fernando adalah salah seorang pemain Chelsea yang belum berkesempatan untuk saya bertemu lagi. Ini kerana Torres, Juan Mata dan Cesar Azpilicueta kini berada bersama-sama skuad kebangsaan Sepanyol dalam kejohanan Piala Konfederasi," jelas Mourinho.

Tambah Mourinho, dia hanya akan bercakap dengan Torres secara berdepan selepas pemain itu kembali dari kejohanan tersebut bagi mengelakkan sebarang salah intepretasi (jika bercakap menerusi telefon).

Mourinho mengingatkan semua pihak yang Torres adalah pemain Chelsea dan masih terikat dengan kontrak.

Artikel Lain