suria

Terengganu Ketepi Tiga Acara Pada Sukma Di KL

KUALA TERENGGANU: Terengganu terpaksa mengetepikan tiga acara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Kuala Lumpur yang bermula dari 28 Jun hingga 7 Julai depan berikutan kekurangan atlet.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Rozi Mamat berkata, tiga acara itu adalah polo air, renang berirama serta bola keranjang.

Beliau juga berkata, acara itu masih di peringkat pembangunan di negeri ini sejak projek sukan berkenaan dimulakan tahun lepas di negeri ini menerusi bimbingan jurulatih dari China.

"Bagi saya masih terlalu awal untuk kita menyertai acara sukan itu dan kita memberi tumpuan yang khusus kepada 17 lagi acara yang dipertanding.

"Persiapan rapi untuk menyertai kejohanan itu sedang giat dijalankan dan kini atlet giat menjalani latihan terakhir, dan majlis penyerahan bendera kontinjen Terengganu dijadual akan diserahkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada 19 Jun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2013 di Stadium Negeri pada Ahad.

Sementara itu, Rozi mengaku agak sukar mengekalkan kejuaraan Sukma empat kali berturut-turut sejak 2008, namun beliau yakin dengan kemampuan atlet muda dan baru Terengganu dalam menggalas cabaran edisi kali ini.

Beliau berkata, kebanyakan acara yang dipertanding pada kejohanan Sukma kali ini bukanlah acara kegemaran Terengganu namun perkara itu bukan penghalang buat atlet mencipta kejutan dalam mengutip pingat.

"Saya yakin atlet yang diketengahkan pada temasya kali ini mampu memberi saingan sengit sepanjang kejohanan itu sekali gus mencapai keputusan terbaik," katanya.

Sukma kali ini menyaksikan sejumlah 20 acara dipertanding iaitu Akuatik (Polo Air dan Renang Berirama), Bina Badan, Bola Baling, Bola Jaring, Bola Keranjang, Bola Sepak (Futsal dan Bola Sepak Pantai), Bola Tampar (Dewan dan Pantai), Ekuestrian (Endurance, Show Jumping, Dressage),Gimnastik, Judo, Kabaddi, Kriket, Lawan Pedang, Mendayung, Muay Thai, Ping Pong, Ragbi, Silambam, Sofbal dan Woodball. - BERNAMA

Artikel Lain