suria

Kien Keat Akui Mahu Bangkit

Kien Keat akui melalui keadaan sukar sehingga memberi kesan buruk kepada prestasinya.
Kien Keat akui melalui keadaan sukar sehingga memberi kesan buruk kepada prestasinya.
Kien Keat akui melalui keadaan sukar sehingga memberi kesan buruk kepada prestasinya.

KUALA LUMPUR: Gaya hidup salah seorang pemain beregu negara, Koo Kien Keat menjadi perbualan hangat bagi peminat sukan badminton tanah air, malah turut diejek selepas tewas di gelanggang baru-baru ini.

Selepas beberapa minggu tersungkurnya pasukan beregu negara ini di laman sendiri ketika aksi Piala Sudirman bulan lalu, akhirnya Kien Keat tampil memberi penjelasan mengenai keadaan hidupnya yang agak 'berserabut'.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui dia terdesak untuk membantu pasangannya, Tan Boon Heong menjelang aksi Kejuaraan Dunia di Guangzhou Ogos ini.

Pasangan beregu utama negara ini diberi amaran terakhir oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sama ada melangkah ke final pada aksi tersebut ataupun berdepan dengan perpisahan.

Beregu negara ini telah bersama sejak tujuh tahun lalu menjadi topik utama sukan badminton berikutan persembahan merosot sejak kebelakngan ini, ditambah pula selepas tewas kepada pasangan beregu Taiwan Lee Sheng-mu-Tsai/Chia-hsin dalam peringkat kumpulan Piala Sudirman di Stadium Putra Bukit Jalil Mei lalu. Malaysia tewas 3-2.

Beberapa faktor dikatakan punca kepada kemerosotan prestasi termasuk masalah disiplin yang disebabkan gaya hidup pemain itu sendiri.

Namun dalam masa sama juga, tidak dinafikan faktor pertukaran jurulatih daripada Yap Kim Hock kepada Rexy Mainaky, Pang Cheh Chang, Tan Kim Her, Yoo Yong-sung dan Paulus Firman juga dikatakan mengapa mereka berdepan dengan situasi sedemikian. Jadi ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mereka menyesuaikan diri dengan corak berbeza dalam tempoh yang singkat.

Kien Keat mengakui, dia juga tidak memberi komitmen seperti yang diperlukan dan dalam masa sama terpaksa bergelut untuk konsisten seperti kawan baiknya, pemain perseorangan No 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Saya hanya ingin membuat pengakuan yang saya tidak memberi komitmen sepenuhnya seperti mana saya inginkan. Terdapat kombinasi faktor yang membuatkan saya berdepan dengan situasi ini...namun saya tidak mahu bercakap mengenainya sekarang. Tetapi saya sedar, ada perkara yang silap," jelas Kien Keat.

"Ya, kadang-kala saya berjaga malam, saya tidak boleh tidur..dan saya hanya ada tiga hingga empat jam sahaja waktu rehat. Saya telah berbincang masalah sukar tidur ini dengan pihak pengurusan dan saya akan dibantu.

"Sangat sukar bagi saya untuk bangun pada waktu pagi.

"Saya juga sedar yang umur saya semakin meningkat sekaligus waktu pemulihan saya semakin lambat setiap kali selepas menjalani latihan.

"Saya masih ingat lagi ketika saya remaja dahulu, saya ada bertanyakan kepada bekas pasangan beregu saya (Chan Chong Ming), kenapa dia mudah berasa penat. Sekarang, saya faham...lain orang lain tindak balas selepas menjalani latihan keras."

Kien Keat juga turut meluahkan kekecewaannya.

"Hanya perasaan kecewa sahaja pada masa ini. Saya selalu meletakkan sasaran tinggi dalam kejohanan utama...tetapi berasa putus asa apabila selalu tewas," jelasnya.

"Ia juga agak sukar untuk sentiasa konsisten berada di atas seperti Chong Wei. Tetapi, aksi perseorangan jauh berbeza dengan aksi beregu.

"Dalam aksi beregu, kedua-dua pemain perlu mempamerkan permainan terbaik. Lebih sukar lagi jika salah seorang tidak bermain dengan baik dan seorang lagi sebaliknya".

Namun Kien Keat berkata, situasi ini tidak akan membuatkan dia meninggalkan Boon Heong.

"Walaupun keadaan kami dilihat tidak berjalan lancar, saya tidak pernah terfikir untuk bertukar pasangan. Ia mengambil masa yang lama untuk memahami antara satu sama lain, dan saya rasa kami berdua saling memahami tentang kekuatan dan kelemahan masing-masing," jelas Kien Keat.

"Buat masa sekarang saya akan fokus bersama Boon Heong sehingga aksi dunia. Saya tidak risau sama ada kami akan dipisahkan ataupun ada perkara lain.

"Saya tahu sudah terlambat untuk menaruh harapan tinggi, tetapi itulah yang kami harapkan.

"Sekarang saya akan cuba lakukan apa sahaja bersama Boon Heong di kejohanan dunia itu."

Sebelum itu, Kien Keat-Boon Heong diberi peluang untuk menebus kembali kekecewaan apabila bakal beraksi di Terbuka Indonesia bermula Rabu ini.

Mereka bakal berdepan dengan pemain Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Hendra Gunawan pada aksi pusingan pertama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Arsenal Mampu Bayar Rooney

Artikel Lain