suria

Frenz Malaysia Tidak Gentar Hadapi Frenz Indonesia

KUALA LUMPUR: Pasukan Frenz Malaysia B yakin kutip tiga mata penuh apabila menentang Frenz Indonesia pada Kejohanan Bola Sepak Piala Asean FAM-Frenz bawah 15 tahun di Stadium Siliwang, Bandung, Indonesia pada Jumaat.

Jurulatih Frenz Malaysia B, Zulkiflie Sameon dalam kenyataan hari ini berkata pemainnya telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melakukan kejutan terhadap pasukan pendahulu Kumpulan B itu.

Beliau berkata pasukannya mempunyai kelebihan kerana dapat menurunkan barisan kesebelasan utama termasuk pemain pertahanan Mohd Syafiq Abdul Halim dan penyerang utama Mohd Akmal Ahmad Nasir.

Frenz Malaysia B kini menduduki tangga kedua kumpulan B dengan mengumpul empat mata dengan perbezaan dua mata di belakang pendahulu kumpulan iaitu Frenz Indonesia selepas menamatkan empat perlawanan.

Tiga lagi pasukan dalam kumpulan itu ialah Vietnam PVF FA, Thailand Chonburi FC, Lao Toyota FC dan Filipina. Kumpulan A disertai Frenz Malaysia A, Timor Leste, NFA Brunei Darussalam dan Myanmar Mandalay. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain