suria

Sukan Sea 2013: Muhammad Ali Jadi Sandaran Raih Emas di Myanmar

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan Muhammad Ali Yaakub menjadi harapan negara untuk meraih pingat emas bagi acara muay thai pada temasya Sukan SEA, Myanmar dari 11 hingga 22 Dis depan.

Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia Datuk Muhd Shahnaz Azmi berkata atlet berusia 27 tahun itu merupakan petinju ke-10 terbaik dunia dan mempunyai banyak pengalaman dalam acara tersebut.

"Selain Muhammad Ali, pihak kami akan menghantar lima lagi atlet muay thai lelaki ke Sukan SEA Myanmar," katanya.

Muhd Shahnaz berkata sebanyak 25 atlet Muay Thai telah diserapkan ke skuad kebangsaan sebagai atlet elit dan kini giat mengikuti latihan di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sejak Isnin lepas.

Katanya kesemua atlet mendapat bimbingan jurulatih profesional dari Australia, Thailand dan dua jurulatih tempatan.

"Pada bulan Ogos, kesemua atlet ini akan dibawa ke Pusat Latihan Muay Thai, Thailand untuk berlatih bersama-sama petinju pasukan itu sebagai pendedahan dalam perlawanan selama seminggu.

"Pihak persatuan Muay Thai Thailand juga sudah bersetuju untuk mengadakan latihan bersama di negara tersebut," kata Muhd Shahnaz yang juga Timbalan Presiden Muay Thai Asia.

"Pada bulan November, enam atlet yang terbaik akan dihantar ke Rusia selama dua minggu bagi menjalani latihan untuk memantapkan lagi dan persediaan sebelum ke perlawanan di Sukan Sea di Myanmar nanti," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain