suria

Stadium Nasional Bukit Jalil Ditutup Enam Bulan

Khairy meneliti keadaan padang dan barlapan ketika membuat lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis. Foto: BERNAMA
Khairy meneliti keadaan padang dan barlapan ketika membuat lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis. Foto: BERNAMA
Khairy meneliti keadaan padang dan barlapan ketika membuat lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis. Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil bakal ditutup selama enam bulan berikutan kerja-kerja baik pulih yang akan dilakukan bermula Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, penutupan stadium ini akan dilakukan selepas berakhirnya perlawanan Piala FA dan perlawanan persahabatan Malaysia dan Barcelona.

"Pembaik pulih stadium akan dibuat bermula Oktober ini berikutan padang yang ada sekarang tidak menepati standard antarabangsa.

"Memang sudah tiba masanya stadium utama ini diganti dengan padang yang baru. Banyak maklum balas yang saya terima mengenai stadium ini.

"Enam bulan adalah tempoh yang diberikan untuk menyelesaikan semua kerja-kerja ini," jelasnya kepada media selepas sesi lawatan ke Stadium Nasional Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Datuk Jamil Salleh berkata, Stadium Nasional ini akan mula menjalankan kerja-kerja menaiktaraf bukan sahaja melibatkan padang, tetapi keseluruhan stadium.

"Ia termasuk persekitaran stadium dan tender untuk kerja-kerja ini akan mula dibuka pada penghujung Ogos ataupun awal bulan September ini.

"Sebelum itu, stadium akan berjalan seperti biasa," katanya kepada media.

Jamil berkata, anggaran kos yang digunakan dalam kerja-kerja ini masih belum dinilaikan lagi.

"Kos belum dapat ditentukan keranan anggaran bergantung kepada jenis rumput dan jenis kerja yang akan dibuat.

"Kos ini mungkin mencapaian jutaan ringgit tetapi tidak sebesar seperti mahu membina stadium baru," jelasnya.

Tambahnya, selepas sahaja stadium ini selesai dinaiktaraf, pihaknya akan mengeluarkan satu peraturan penggunaan stadium ini seperti mana yang dicadangkan oleh Khairy bagi mengehadkan aktiviti-aktiviti di stadium ini.

"Kami akan mengeluarkan peraturan bahawa hanya stadium ini hanya akan digunakan untuk aktiviti bola sepak sahaja.

"Selain itu, sebarang aktiviti lain tidak akan dibenarkan bagi memastikan keadaan rumput terjaga.

"Dalam pada itu, kami masih dalam perbincangan untuk memilih jenis rumput yang akan digunakan, tetapi yang pasti ia bukan rumput sentetik.

"Ia rumput biasa tetapi kualiti yang lebih baik," kata Jamil.

Artikel Lain