suria

PGM Beri Ganjaran Kepada Pemain Dengan Lanjut Tempoh Kad Jelajah

KUALA LUMPUR: Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) akan melanjutkan tempoh kesahihan Kad Jelajah PGM dari satu hingga dua tahun mulai tahun ini.

Pengerusinya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, berdasarkan peraturan semasa PGM, pemegang Kad Jelajah hanya layak untuk bertanding pada mana-mana kejohanan PGM untuk tempoh setahun.

"Melanjutkan tempoh satu kepada dua tahun itu merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi ganjaran kepada pemain tempatan yang konsisten pada kejohanan PGM.

"Sekiranya pemain merangkul lebih tiga gelaran atau lebih pada mana-mana kejohanan siri PGM-Jelajah Pembangunan Asia (ADT) tahun ini, kami akan melanjutkan tempoh kesahihan Kad Jelajah PGM sehingga tiga tahun," katanya.

Jelajah PGM-ADT merangkumi sembilan kejohanan tahun ini dengan lima sudah selesai.

Terdahulu, Ahmad Sarji menerima penajaan RM500,000 daripada Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Asmat Kamaludin bagi Kejohanan PGM-UMW Templer Park Masters di Templer Park Country Club di Rawang dari 26 hingga 29 Jun ini.-BERNAMA

Artikel Lain